PETALING JAYA – Bersatu dilaporkan tidak menyokong Ahli
Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan
Rakyat kerana sokongan terhadap beliau bertentangan dengan prinsip
parti untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang ada kes mahkamah.
Sinchew Daily melaporkan, walaupun Perdana
Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan nama Ahmad
untuk dicadangkan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi
cadangan itu boleh ditarik balik.
Dalam pada itu, sebanyak 31 wakil rakyat Bersatu telah
menerima “arahan” daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
untuk tidak memberi sokongan kepada Ahmad.
“Ya, Bersatu tidak akan menyokong Ahmad sebagai Timbalan Speaker, kerana beliau ada kes mahkamah.
“Sebelum melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin telah menyatakan untuk tidak bekerjasama dengan kleptokrat.
“Kami berpendapat bahawa Perdana Menteri akan menukar
nama Ahmad, tetapi kami setakat ini tidak tahu siapa yang akan
menggantikannya,” kata sumber kepada Sinchew Daily.
Sebelum ini, Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung
UMNO dilaporkan akan berebut jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat
dengan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming daripada DAP.
Memandangkan Pakatan Harapan menamakan Kor Ming sebagai
calon tunggal mereka, kerajaan justeru bimbang kedudukan Perdana Menteri
akan dipertikaikan sekiranya calon mereka terkandas jika ada apa-apa
berlaku ke atas pencalonan Ahmad.
Keadaan itu dilaporkan mungkin mendorong Ismail Sabri
untuk mempertimbangkan calon lain untuk jawatan Timbalan Speaker. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan