HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 September 2021

Besar pengorbanan Muhyiddin hingga jawatan PM dilepaskan: Tajuddin


Pengorbanan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah besar sehingga sanggup melepaskan jawatannya dan kemudiaannya menyokong calon Perdana Menteri dari parti UMNO, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers) baharu itu berkata tidak dapat dinafikan tanpa jasa mantan Perdana Menteri itu yang membantu kebangkitan UMNO apabila kembali menerajui kerajaan semula selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai PM Kesembilan.

“Jika tidak mereka (Bersatu) boleh minta jawatan PM, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) ke sesiapa yang nak… mereka boleh minta,” kata beliau dalam satu wawancara baru-baru ini.

Untuk rekod, Muhyiddin berundur selepas didesak sekumpulan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap Presiden Bersatu tersebut.

Walaupun kehilangan jawatan yang berpunca daripada tindakan 15 MP UMNO tersebut, Muhyiddin sebaliknya mengenepikan sengketa politik dan memberi sokongan kepada calon PM yang diletak UMNO serta mengajak rakan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Ismail Sabri.

Ismail Sabri dan UMNO tidak akan dapat menerajui kerajaan semula tanpa sokongan daripada PAS dan GPS yang berada dalam PN dan mungkin akan menjadi pembangkang semula.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata faktor utama yang mungkin menjadi pertimbangan Muhyiddin untuk menyokong calon PM dari UMNO adalah disebabkan sudah serik dengan DAP semasa berada dalam Pakatan Harapan sebelum ini dan tidak mahu melihat parti itu kembali berkuasa di Putrajaya.

“Itu yang mendorong Muhyiddin untuk kekal bersama UMNO membentuk kerajaan sehingga sanggup jawatan Perdana Menteri pun ambil lah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ismail Sabri dilantik PM Kesembilan Malaysia selepas mendapat sokongan 114 MP daripada 220 kerusi Dewan Rakyat, susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.

Berhubung sokongan Muhyiddin kepada Ismail Sabri, beberapa syarat juga diletak termasuk memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik bukan daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Tiada ulasan: