HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 September 2021

Mereka lompat parti kerana takut jadi kluster mahkamah, kata Zahid


Tindakan mereka yang melompat parti adalah disebabkan takut akan didakwa di mahkamah dan dianggap sebagai pengkhianat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu yang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah berkata tindakan wakil rakyat yang melompat parti itu dianggap sebagai melanggar amanah dan hanya tahu mengejar kuasa, malah mereka juga takut untuk menjadi ‘kluster mahkamah’.

“Tindakan mereka jelas telah mencabul amanah diberikan kepada mereka.

“Mereka yang lompat parti itu sebenarnya mengejar wang, kuasa dan juga ketakutan dengan pertuduhan yang boleh mengheret menjadi kluster mahkamah,” katanya semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti di Menara Dato Onn hari ini.

Beliau mahu rentetan tindakan melompat parti itu sebagai iktibar dan menggesa supaya isu dalaman parti melibatkan parti komponen BN diselesaikan sebelum berlangsung pilihan raya umum berlangsung nanti.

“Kita perlu jadikan sejarah hitam PRU14 sebagai iktibar. Matlamat kita adalah bangkit semula.

“Sebarang isu dalaman parti baik dari pihak UMNO, parti komponen atau parti lain hendaklah diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 15 Ahli Parlimen yang bertanding atas tiket BN bertindak keluar parti dan menyertai parti lain.

Gabungan BN turut mengecil selepas sembilan daripada jumlah 13 parti komponen mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut.

BN kini hanya dianggotai UMNO, MCA, MIC dan PBRS manakala Makkal Sakti masih kekal sebagai parti komponen BN.

Tiada ulasan: