HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 September 2021

Dr Mahathir tolak rayuan DAP supaya sokong MoU kerajaan


Rayuan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang agar Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti diterajuinya, Pejuang supaya menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan ditolak dengan tegas bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir menyifatkan perjanjian antara blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan itu terdapat unsur ‘rasuah’ dan ia akan membataskan parti pembangkang dalam membuat kritikan terhadap kerajaan.

“Kita dapati bahawa kalau kita ambil bahagian kerana kita dapat pulangan tertentu, itu bagi kita tak sesuai kerana dia nampak seolah-olah ada unsur rasuah di situ.

“Iaitu kami akan sokong kalau kamu bagi sekian-sekian kepada kami,” katanya dipetik dalam satu sidang media di Langkawi hari ini.

Jelasnya, langkah tersebut juga bertentangan dengan sistem demokrasi apabila parti pembangkang tidak lagi mempunyai kebebasan dan ia berbeza dengan pendekatan kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkannya sebelum ini.

“Lainlah kalau kita ada unity government. Unity government bukan perjanjian tetapi semua orang ada kuasa yang sama,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, sekiranya kerajaan mahu memberikan sebarang kemudahan, ia seharusnya diberikan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang dan bukan memilih untuk memberi kepada mereka yang berjanji untuk menyokong kerajaan sahaja.

“Jangan ada pilih orang yang berjanji sokong sahaja yang kita nak bagi. Sebab itu pihak Pejuang kita buat keputusan tidak akan terlibat.

“Kita akan bebas dan kita akan jadi pembangkang dan tidak ada perjanjian dengan kerajaan untuk ‘quid pro quo’, kita bagi, dia bagi,” katanya.

Beliau turut mendakwa partinya tidak diundang dalam perbincangan antara kerajaan dan PH sebelum MoU itu ditandatangani.

Semalam, Kit Siang menggesa supaya Warisan, Pejuang dan Muda yang berada dalam kem Dr Mahathir itu mengikut jejak yang diambil PH yang bersetuju untuk melakukan gencatan politik demi masa depan rakyat Malaysia.

“Saya berharap Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani MoU CSR (reformasi-perbekalan-kepercayaan) dengan Perdana Menteri untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.

PH dan kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen pada 13 September lalu.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Untuk rekod, tawaran kerjasama tersebut sebelum ini pernah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletak jawatan tetapi ditolak mentah-mentah pembangkang.

Hanya dengan kerajaan baharu diterajui UMNO sahaja Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk dan menerima tawaran MoU tersebut, begitu takut beliau kepada UMNO sehingga mengadaikan prinsip perjuangannya sebelum ini.

Tiada ulasan: