HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 September 2021

Ahmad Maslan tak tahu kenapa tak dilantik jadi Timbalan Speaker


Hasrat Datuk Seri Ahmad Maslan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak kesampaian dan beliau yang sedang bersedih tidak tahu mengapa tidak mendapat sokongan rakan Ahli-ahli Parlimen (MP) dari parti lain.

Setiausaha Agung UMNO itu pada awalnya diwar-warkan bakal dilantik menggantikan tempat yang dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said tetapi kempunan apabila pencalonannya ditarik balik kerajaan dan tiada pemilihan Timbalan Speaker akan dijalankan pada sidang kali ini.

“Sila tanya PPBM (Bersatu), terima kasih,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

MP Pontian itu tidak menjawab punca sebenar beliau tidak dilantik bagi jawatan tersebut.

Untuk rekod, beliau merupakan salah seorang daripada kumpulan 15 MP yang menarik sokongan terhadap mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. Selain itu, beliau juga terpalit dengan kes mahkamah dan antara yang dilabel sebagai ‘kluster mahkamah’.

Kerajaan sebelum ini mencalonkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker, sementara pembangkang menamakan MP DAP, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan pencalonan Ahmad sebenarnya turut tidak mendapat sokongan beberapa MP UMNO bukan ‘kluster mahkamah’.

Sumber Agenda Daily memberitahu, keputusan mencalonkan MP Pontian tersebut diputuskan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba melanggar syarat diletakkan Muhyiddin tidak akan menerima pemimpin daripada ‘kluster mahkamah’.

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.

Jawatan itu kosong setelah MP Pengerang, Azalina meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

Tiada ulasan: