HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 September 2021

Kerajaan P. Pinang mahu teruskan projek tambak, fail semakan kehakiman


Semakan kehakiman difailkan kerajaan Pulau Pinang terhadap keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengakibatkan pembatalan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambak laut.

Kerajaan pimpinan DAP itu tetap berdegil mahu meneruskan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan negeri tersebut.

Langkah memfailkan semakan kehakiman itu disahkan Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari yang berkata kerajaan negeri juga akan memulakan proses mengemukakan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada pasca-Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bersidang semalam telah bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Terdahulu, rancangan untuk meneruskan projek tersebut mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tunku Jaafar serta beberapa persatuan di Pulau Pinang yang meminta projek itu dibatalkan serta-merta.

Di bawah projek PSI, kerajaan negeri bercadang untuk merebut kembali kira-kira 1,821 hektar laut untuk membangunkan tiga pulau di selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk membuat bank darat yang akan digunakan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Tiada ulasan: