HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Keseimbangan pembangunan
wilayah-wilayah perlu menjadi teras utama diberi perhatian oleh kerajaan
dalam mengurangkan kesenjangan antara wilayah di seluruh negara
khususnya melibatkan negeri-negeri miskin.
Dato’ Che Abdullah Mat
Nawi (PAS-Tumpat) berkata, jurang antara wilayah-wilayah masih berlaku
walaupun kerajaan lalu juga ada membentangkan kajian separuh penggal
Rancangan Malaysia Ke-11 pada tahun 2018.
Malah katanya,
ketidakseimbangan pembangunan ini juga telah dijadikan perhatian utama
dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan Rancangan Malaysia Ke-12
akan menjadi lonjakan awal terhadapnya.
Beliau mengulangi senarai
projek disebut Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pada ucapan
sebelumnya mengenai keperluan rakyat Kelantan, namun masih belum
dijayakan walaupun telah beberapa kali dibentangkan di Parlimen dan
diluluskan.
Dato’ Che Abdullah memetik beberapa laporan berita yang menjadi tular dan perhatian netizen,
khususnya berkaitan nasib penduduk Teluk Renjuna Tumpat di mana
berdepan pelbagai kesukaran hidup kerana ketiadaan jambatan di situ.
Ceritanya,
perkampungan pulau itu kerana menghadapi pasang surut air sungai secara
harian telah menyebabkan sering terjadi hal-hal yang mengganggu rutin
kehidupan mereka termasuk terkini terputus bekalan makanan selama tiga
hari.
Menurut beliau, hal itu telah dikemukakannya kepada Perdana
Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan
sebagainya untuk diberi kemudahan jambatan yang menghubungkan penduduk
dengan tanah besar.
“Masalah oleh penduduk di sini adalah
merupakan yang dihadapi mereka secara harian. Baik yang menghadapi
masalah kecemasan, masalah pelajar-pelajar yang tidak dapat menghadiri
peperiksaan kerana air cetek, masalah tidak dapat merentasi sungai
kerana airnya pasang dan sebagainya.
“Ini
adalah merupakan masalah harian yang berlaku di Tumpat, bukannya di
kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan saya mengharapkan diberi
perhatian oleh kerajaan hari ini,” ujarnya membahaskan Usul Menjunjung
Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini
kelmarin dahulu.
Turut digesa beliau adalah Projek Pembangunan
Bersepadu Lembangan Sungai Golok Fasa 1 melibatkan jajaran Tumpat dan
Pasir Mas yang mesti diteruskan ke Fasa 2 dan 3 bagi mengatasi masalah
banjir dihadapi daerah-daerah tersebut.
Malah, Dato’ Che Abdullah
yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan menyentuh mengenai kawalan
sempadan negara di mana Tumpat adalah daerah sempadan dengan Thailand
yang mesti diberi perhatian terhadapnya.
“Sesungguhnya kegagalan
mengawal sempadan ini bukan sahaja menatijahkan masalah yang berlaku di
kawasan sempadan itu, tetapi juga di kawasan-kawasan lain dalam negara.
“Daripada
segi infrastrukturnya, daripada segi personelnya, daripada segi
peralatannya mestilah mencukupi untuk memastikan keselamatan sempadan
negara dapat dikawal sebaiknya,” ujar beliau.
Kerajaan gagal?
Terdahulu
dalam perbahasan tersebut, beliau menyangkal tohmahan dilemparkan
pembangkang bahawa negara telah gagal semasa di bawah pemerintahan
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bidasnya,
pihak tersebut sekadar menangguk di air keruh sekali gus menjelaskan
sikap mereka sendiri yang sebenarnya telah gagal memimpin negara
walaupun diberi peluang memerintah untuk tempoh 22 bulan.
“Bagaimana
mereka dengan yakin bercakap soal kegagalan PN dalam kerajaan masih
bertungkus-lumus menyingsing lengan dengan segala kudrat membawa negara
ini keluar daripada pandemik seperti yang kita lihat pada hari ini.
“Sebenarnya
pihak yang sama juga pernah mendakwa negara diambang kebankrapan satu
ketika dahulu dengan dakwaan hutang negara sudah mencecah lebih RM1
trilion seterusnya ia dicanangkan ke seluruh dunia.
“Namun
apabila Perikatan Nasional memerintah, tidak timbul meskipun kerajaan
berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menghimpit
sistem kesihatan global dan negara malah juga memberi kesan langsung
terhadap ekonomi negara.
“Bahkan dalam masa setahun lebih ini,
rakyat terus dibantu dengan lapan pakej survival bermula dengan pakej
PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI,
PEMERKASA dan PEMULIH. Pakej bantuan ini keseluruhannya bernilai RM 305
bilion atau 22.7 peratus daripada KDNK.
“Ditambah lagi dengan
Belanjawan 2021 yang mengetengahkan pengembangan belanjawan fiskal
bernilai RM 322.5 bilion sedangkan rakyat terutamanya orang Islam tidak
lagi dalam suasana kebimbangan aset-aset berkepentingan mereka berisiko
dijual bagi menampung kekurangan dalam masalah kewangan ini.
“Malah
bantuan tunai diteruskan kepada rakyat melalui PPN, BPR dan BKC yang
terkini. Malah, ia juga menjadi sejarah apabila kerajaan juga mula
melihat survival bantuan tunai kepada golongan M40 yang berhadapan
dengan pandemik,” hujah beliau.
Ini bentangnya, termasuklah
bantuan kepada golongan Perusahaan Kecil Sederhana yang menjadi tunjang
sektor ekonomi negara, selain golongan rentan menerusi Program Subsidi
Upah, moratorium, pengeluaran KWSP dan sebagainya.
Tegasnya,
itulah lambang keprihatinan kerajaan yang wajar diteruskan pada masa
endemik kelak dan menyimpulkan bahawa Kerajaan PN merupakan kerajaan
yang berjaya, bukannya gagal seperti mana ditohmahkan.
Dato’ Che
Abdullah menyelesaikan tempoh ucapannya disudahi dengan pantun yang
menggunakan pembayang digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Ucapan
Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Persidangan, Isnin lalu.
Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang,
Hebat tuanku gigih berbakti,
Rakyat jelata bertambahlah sayang.
Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah,
Patik akan bekerja sepenuh hati,
Tanpa mengenal penat dan lelah.
Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli,
Sumpah setia ketaatan diberi,
Ke hadapan tuanku patik berjanji. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan