Bila menang pilihan raya bermakna perlu kekal setia hingga bubar Parlimen
BANGI – Reformasi perundangan bagi mengatasi masalah budaya lompat parti
perlu ditangani segera dan bersungguh-sungguh dengan meneliti punca
sebenar masalah.
Tambahan pula, situasi sekarang adalah
waktu terbaik melaksanakan perubahan dalam sistem pilihan raya dan
pentadbiran agar sistem lebih menjamin kestabilan.
Atas dasar itu, hal ini mesti
dilaksanakan dengan cepat dan menggunakan cara tepat, kata Pensyarah
Undang-undang dan Perlembagaan UTM, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.
Beliau berkata, undang-undang antilompat
parti perlu mengandungi ketetapan – seseorang Ahli Dewan Rakyat dipilih
pada pilihan raya yang dicalonkan mewakili sesebuah parti politik –
hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia keluar daripada parti itu atau
mengundi di Parlimen bertentangan kehendak parti itu.
Berdasarkan konsep ini, sebaik sahaja
calon berkenaan memenangi pilihan raya, dia dianggap Ahli Dewan Rakyat
mewakili parti dan perlu kekal setia sehingga pembubaran Parlimen.
“Jika dia menukar parti atau mengundi
bertentangan kehendak partinya di Dewan Rakyat, dia terhenti menjadi
wakil rakyat dan kerusinya diisytiharkan kosong.
“Oleh itu, seseorang wakil rakyat
bertanding menggunakan simbol gabungan seperti Barisan Nasional (BN),
Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), maka dia dianggap
terikat dengan gabungan berkenaan,” katanya menulis di Berita Harian.
Dr Fathi menjelaskan, jika undang-undang
halang lompat parti dibuat berdasarkan keahlian parti tanpa merujuk
penggunaan simbol waktu pilihan raya, maka ia boleh mewujudkan
kecelaruan dalam pelaksanaan undang-undang.
Ia juga menimbulkan persoalan dari sudut penyelesaian kepada isu mandat rakyat, katanya.
“Misalnya seorang wakil rakyat ialah ahli
MIC dan bertanding menggunakan simbol BN. Andaikan berlaku pergolakan
dalam BN dan MIC mengisytiharkan keluar daripada gabungan itu, namun
disebabkan dia tidak keluar partinya, iaitu MIC, maka kerusi mereka
dalam Dewan Rakyat terus kekal.
“Namun, adakah kesan perundangan itu
benar-benar menepati mandat sebenar rakyat yang memangkah simbol BN pada
pilihan raya?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan