HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

MB cadang temui PM bincang projek pembangunan

HARAKAH DAILY

TUMPAT: Bagi memastikan pembangunan di Kelantan yang dirancang sebelum ini berjalan lancar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bercadang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Menteri Besar berkata, antara akan dibincang termasuk projek jambatan Palekbang yang dirancang sebelum ini supaya dapat diteruskan.

Katanya, beliau akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri bagi membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan di negeri itu.

“Hasrat mengenai perkara tersebut sudah saya ajukan melalui sepucuk surat yang dihantar ke Pejabat Perdana Menteri minggu lepas.

“Buat masa ini kita sedang menunggu maklum balas berhubung perkara tersebut,” katanya di sini semalam.

Pada tahun lepas kerajaan pusat mengumumkan pembangunan di lima koridor wilayah pembangunan ekonomi akan diteruskan dengan peruntukan RM780 juta termasuk pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu.

Projek itu melibatkan kos kira-kira RM250 juta akan dibina dengan jarak satu kilometer bermula dari Palekbang, Tumpat merentasi Sungai Kelantan hingga ke Penambang, Kota Bharu.

Malah Pengurus Besar Pelaksanaan Projek, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin dilapor berkata, projek pembinaan jambatan terbabit dijangka bermula Julai 2021.

Menurutnya projek berkenaan akan menarik lebih ramai pelabur dan sekali gus menggalakkan peluang pekerjaan serta keusahawanan di Kelantan.

Menteri Besar juga berkata, beliau akan membincangkan beberapa perkara penting berkait dengan projek yang disenaraikan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Kelantan. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: