HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

PAS Bentong simpati mangsa kebakaran di Janda Baik

HARAKAH DAILY

BENTONG: PAS Kawasan Bentong telah menziarahi pengusaha chalet, Mohmad Yusabanan Yusoh yang kediamannya hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Chemperoh, Janda Baik, di sini kelmarin.

Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah dan Ustaz Roslan Mad Esa bersama Setiausaha PAS Cawangan Janda Baik, Saifurudin Ali turun padang menyantuni mangsa.

Innalillahi wainnailaihi rajiun. Mari kita doa sama-sama semoga Allah mengganjarkan pahala kepada sahabat kita ini dan gantikan dari musibahnya itu, sesuatu yang lebih baik,” ujar Khairuddin.

Beliau menyampaikan sedikit sumbangan wang dan bakul makanan kepada Yusabanan sebagai tanda simpati berikutan rumah banglo dua tingkat tersebut terbakar melibatkan kemusnahan 50 peratus struktur binaannya.

Ustaz Roslan pula menzahirkan rasa simpati kepada Yusabanan yang menerima ujian bertimpa-timpa apabila turut kehilangan mata pencarian setelah chaletnya terpaksa ditutup ekoran pandemik COVID-19.

“Sebak rasa melihat ujian yang menimpa sahabat kita ini. Ujian-ujian hidup sebegini semoga menjadikan kita semua semakin dekat dengan Allah S.W.T,” ujarnya sayu.

Seorang pegawai dan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Genting Highland bergegas pada hari kejadian memadam kebakaran dibantu tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: