Nickyson Nyambar

Kewajaran
untuk melakukan perkara yang betul dengan mengutamakan rakyat menjadi
panduan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum
mengambil keputusan penting melepaskan jawatan tertinggi dalam kerajaan
itu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dari sudut pandangan yang positif.
Beliau
yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) akui tidak
menyesal dengan keputusan untuk melepaskan jawatan tertinggi dalam
kerajaan itu, kerana ianya adalah merupakan satu langkah yang dibuat
atas prinsip Perlembagaan.
"Ini
bukan soal menyesal atau tidak menyesal. (Ini) satu prinsip yang
menyokong Perlembagaan negara, yang saya lihat pada waktu itu adalah
saya tidak lagi mempunyai sokongan majoriti disebabkan 15 Ahli Parlimen
UMNO tidak menyokong saya.
"Maka
saya tidak bertahan lama dan kena melaksanakan tanggungjawab saya
sebagai seorang manusia (umat) Islam untuk meninggalkan jawatan itu.
Jadi saya melepaskan jawatan ataupun meletakkan jawatan. Itu satu
perkara yang saya katakan soal Perlembagaan, soal duniawi," katanya
dalam program temu bual Agenda AWANI pada Selasa.
Malah beliau juga melihat keputusan penting itu sebagai takdir dan atas ketentuan Allah SWT.
"Kita tidak boleh bawa perkara ini ke akhirat. Yang penting, ini sudah ditakdirkan Allah, saya terima ini sebagai satu takdir.
"Tetapi
itu tidak melemahkan semangat saya untuk melakukan perkara yang saya
fikirkan wajar. Mana yang betul, betul di sisi Allah dan bukan di sisi
saya. You have to do what is right, itu menjadi panduan saya.
"Jadi
soal menyesal tidak pernah berbangkit dalam kamus hidup saya. Ini saya
fikirkan utama dan tugas yang perlu saya pikul dengan sebaiknya kerana
apa yang saya utamakan adalah rakyat," kongsi beliau.
Menyentuh
mengenai tugasnya sebagai Pengerusi MPN, beliau menjelaskan, beberapa
perkara perlu diberi penekanan dalam memastikan keberkesanan fungsi
majlis itu dapat dicapai dalam usaha untuk memulihkan negara.
Penyertaan
dengan wakil dari parti pembangkang dalam melunaskan idea serta
pandangan melalui majlis berkenaan dapat memberi kebaikan kepada rakyat.
"Satu
yang saya fikirkan adalah pembentukan majlis itu mempunyai komposisi
beberapa pihak pemain-pemain utama termasuk bi-partisan. Dalam erti kata
lain kita akan menjemput wakil-wakil pihak pembangkang bersama-sama
(memberikan pandangan dalam majlis ini).
"Jadi
itu tentunya baik dari segi kita mengurangkan politicking. Seperti yang
kita tahu masalah-masalah yang kita ada sebelum ini yang mana
mempersoalkan banyak perkara.
"Saya faham
tujuannya adalah untuk memulihkan ekonomi negara kita, tetapi politik
adalah politik. Itu mungkin akan mengganggu dari soal tumpuan kita untuk
memulihkan negara," katanya.
Dalam masa
sama, tambah Muhyiddin, dua perubahan lain yang diperlukan melalui MPN
adalah melibatkan masyarakat dan memberikan maklumat secara telus tanpa
ada niat tersembunyi.
"Bukan setakat
melaksana sahaja, tetapi yang akan menerima faedah ataupun tidak dapat
menerima faedah itu (perlu difikirkan). Harus kita fahamkan penyertaan
masyarakat dari pelbagai peringkat termasuk badan-badan bukan kerajaan,
profesional dan lain-lain adalah penting.
"Kita harus mempunyai perancangan yang jelas dan perkara ini harus dilakukan oleh MPN secara terbuka.
"Kita
perlu melakukan sesuatu perkara secara transparent, umum tahu dan
bukannya diselindung dengan muslihat politik tertentu. Ini untuk
kebajikan dan faedah rakyat jelata," ujar beliau dalam temu bual sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan