HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

Pembangkang dukung usaha laksana Undi 18 - Anwar

Bernama
Pembangkang dukung usaha laksana Undi 18 - Anwar
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Majlis Pimpinan Negeri PKR negeri di kediaman rasmi menteri besar di sini hari ini. - Foto BERNAMA
 
SEREMBAN: Pembangkang mendukung usaha dan komitmen kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 menjelang akhir tahun ini, kata ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Beliau berkata soal teknikal dan perkara berkaitan peruntukan undang-undang tertentu tidak wajar dijadikan alasan sehingga melengahkan pelaksanaan Undi 18.
 
"Pendirian kita ia (Undi 18) mesti dijalankan... bila saya jumpa PM (Perdana Menteri), saya juga tekankan bahawa hal ini perlu dijalankan, amanah ini iaitu memastikan Undi 18 diluluskan sebelum akhir tahun ini maknanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang," katanya.
 
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.
 
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata perkara itu (Undi 18) turut dibincang ketika perjumpaan wakil parti pembangkang bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Beliau juga percaya jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapat arahan yang jelas, mereka mampu melaksanakannya dengan baik.
 
Pada 7 Sept lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor berkata SPR telah diarah melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis ini sebagai mematuhi keputusan mahkamah.
 
Mengulas kemelut politik di Negeri Sembilan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata kedudukan Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri kekal meskipun terdapat desakan meminta beliau digantikan.
 
"Dalam mesyuarat tadi, isu kedudukan Menteri Besar tidak berbangkit, kita beri sokongan penuh, apa yang dibangkitkan adalah permintaan supaya beliau memberi perhatian kepada keperluan parti dan cabang-cabang untuk memperkukuh jentera menghadapi PRU15," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: