HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

PM beri Najib jawatan lain, halang jadi Presiden UMNO semula


Spekulasi kuat mengatakan Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan kes mahkamah akan dilantik Putrajaya sebagai penasihat ekonomi, ia selepas bekas Perdana Menteri (PM) itu meminta diberikan jawatan kepadanya untuk membantu kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkemungkinan tidak mempunyai pilihan lain selain menunaikan permintaan tersebut (penasihat ekonomi) bagi mengelak jawatan Presiden UMNO diberikan semula kepada Najib yang meletak syarat tersebut sebagai timbal balik untuk menyokongnya sebagai orang nombor satu dalam negara sebelum ini.

Tidak ramai yang tahu, Najib sebenarnya meletak syarat kepada Ismail Sabri untuk memberinya laluan menjadi Presiden UMNO semula jika mahu sokongannya sebelum ini ketika berlaku kemelut politik.

Bagaimanapun, umum mengetahui pemilihan UMNO tidak akan diadakan tahun ini dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal menjadi Presiden UMNO sekurang-kurangnya setahun lagi sehingga pilihan raya umum diadakan.

Ia bukan rahsia lagi yang Najib pada awalnya tidak menyokong idea Ismail Sabri dicalonkan sebagai PM kesembilan, ia sendiri diakui oleh pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini tetapi selepas dipujuk baharulah bersetuju untuk menyokong Naib Presiden UMNO sebagai calon PM menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, Ismail Sabri satu-satunya PM yang bukan memegang jawatan Presiden parti dalam sejarah dan ia sudah melanggar tradisi parti itu sendiri. Namun, pastinya beliau juga mempunyai cita-cita untuk menjadi orang nombor satu parti selepas ini.

Namun, lantikan Najib tersebut bakal menimbulkan polemik memandangkan bekas PM itu antara individu yang berada dalam kluster mahkamah.

Berbeza dengan lantikan Muhyiddin yang meletak jawatan kerana hilang majoriti, Najib selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Najib itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Kes tersebut kini dalam peringkat rayuan selepas Najib merayu terhadap keputusan tersebut.

Pada 2018 lalu, Najib dihadapkan ke mahkamah berkaitan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion.

Untuk rekod, pada 4 September lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sebagai mengharai peranannya sebelum ini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia dibuat atas dasar keyakinan terhadap kemampuan mantan PM itu untuk menerajui strategi pemulihan akibat kesan wabak Covid-19.

Muhyiddin pula berkata MPN akan membantu kerajaan melalui fasa pemulihan seperti yang telah digariskan.

Tiada ulasan: