Abd Hadi Che Awang
Tun Mahathir membuat tinjauan di Langkawi bagi program #PulangKeLangkawi pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI:
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menolak permintaan Ahli
Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membentangkan
Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun,
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ianya memerlukan
kajian mendalam termasuk kefahaman terhadap maksud sebenar 'melompat'
selain hukuman yang perlu dikenakan terhadap individu yang melakukan
tindakan berkenaan.
Menurutnya,
hasil kajian berkenaan amat diperlukan semua pihak agar dapat
mengelakkan pelbagai pertikaian kelak sekiranya RUU itu diluluskan.
"Semua
ini mesti dikaji dan kita tidak tolak tetapi kita hendak kaji secara
mendalam, memandangkan kadang-kadang ada pula parti yang pecat. Macam
saya kena pecat jadi apa dia hukuman terhadap pemecatan, boleh ke pecat,
semua ini perlu dikaji dengan mendalam, kalau kata tidak boleh lompat
(tanpa dikaji secara mendalam), banyak benda tidak betul boleh berlaku
(kelak termasuk pertikaian antara ahli Parlimen)," kata Ahli Parlimen
Langkawi itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Kuah bagi program #PulangKeLangkawi pada Jumaat.
Tambah
Dr Mahathir, cadangan memberikan kuasa atau mengembalikan mandat kepada
rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya terdapat Ahli
Parlimen yang melompat pula disifatkan akan mengambil masa yang lama
serta menjadi satu perkara yang sia-sia sekiranya individu berkenaan
dipilih semula.
"Rakyat yang pilih orang
itu (Ahli Parlimen) bukan semua (pengundi) dalam satu satu kawasan pilih
dia, ada yang pilih lain, jadi kalau satu kumpulan rakyat tuduh (Ahli
Parlimen itu) menyeleweng (mandat rakyat) tetapi dia pulak (dapat
sokongan dari individu) atau orang (yang) lebih ramai yang mengatakan
dia tak menyeleweng (mandat rakyat, jadi yang melompat akan kembali
dipilih).
"Kami (Pejuang) tak hendak dia
timbul satu pertikaian di antara dua puak ini dan ia akan ambil masa
yang panjang, kita tidak ada kerja lain (selain daripada) asyik buat
kerja (pemilihan semula) itu," katanya lagi.
Pada Rabu, Azalina meminta agar Rang Undang-Undang Antilompat parti dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu menyifatkan RUU itu perlu diwujudkan segera memandangkan amalan melompat parti bukan sahaja satu perbuatan yang tidak adil kepada rakyat malah juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika kemenangan individu berkenaan dalam satu-satu pilihan raya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan