Bernama
Annuar
berkata MoU itu hanya satu daripada pelbagai inisiatif yang bersifat
inklusif dan pendekatan di luar kotak yang akan dilaksanakan kerajaan. -
Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU:
Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang
dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) terbit daripada dasar
inklusif kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri
Annuar Musa.
Beliau berkata Perdana
Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhasrat mentadbir negara secara
inklusif serta berasaskan semangat Keluarga Malaysia dan melalui dasar
itu, tiada sesiapa yang tertinggal termasuk pembangkang.
Katanya
bertitik tolak daripada itu, maka lahirlah sebuah tawaran kepada PH
untuk bekerjasama dan kerajaan gembira apabila tawaran itu diterima.
"Kalau
orang faham, di situ tiada isu siapa nak tuntut apa, ia daripada tekad
politik kerajaan yang memilih untuk ambil pendekatan inklusif dan
menjadi dasar kepada kerajaan untuk benar-benar melaksanakan konsep
Malaysia sebagai sebuah keluarga.
"MoU
ini kalau ada sesiapa nak tuntut apa-apa, silakan kerana MoU ini milik
semua, yang penting bagi saya ialah melaksanakan apa yang ada dalam MoU
itu, kalau tuntut sana sini tetapi tiada obligasi moral nak laksanakan
maka MoU tidak membawa apa-apa makna," katanya pada sidang media di sini
hari ini.
Terdahulu, Annuar melawat
Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini
serta mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan KKMM bagi Sabah yang
turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Mohammad Mentek.
Beliau
berkata demikian ketika mengulas dakwaan warga media sosial bahawa tiga
Ahli Parlimen DAP iaitu Anthony Loke (Seremban), Tony Pua (Damansara)
dan Dr Ong Kian Ming (Bangi) merupakan individu penting yang menjadikan
MoU itu suatu kenyataan.
Annuar berkata
MoU itu hanya satu daripada pelbagai inisiatif yang bersifat inklusif
dan pendekatan di luar kotak yang akan dilaksanakan kerajaan serta
bersifat transformatif antaranya memberi peluang kepada mereka yang
terpinggir atau 'orang kecil' untuk mengubah kehidupan menjadi lebih
baik.
"Kerjasama dengan pembangkang ini
hanya satu, bukan satu-satunya, ini baharu permulaan, kita harap boleh
bentuk kerjasama dengan Warisan (Parti Warisan Sabah), Parti Muda dan
parti-parti lain tetapi tidak eksklusif kepada MoU sahaja," katanya.
Beliau
berkata apa yang penting ketika ini ialah kesediaan kerajaan untuk
berubah, justeru semua pihak termasuk pembangkang juga perlu berbuat
demikian dan tidak mengamalkan politik sempit serta perkauman yang
merugikan rakyat pada akhirnya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan