Ramai keliru perbezaan muzakarah dengan muqabalah – Husam
Lanjusoh
KOTA BHARU - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap penjelasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai isu muzakarah yang digeger sebelum ini difahami orang ramai.
Beliau berkata, ramai bertanya perbezaan di antara muzakarah dengan muqabalah seperti yang diputus baru-baru ini.
"Keputusan Majlis Syura di Kota Bharu baru-baru ini cuba dikelirukan media pada hal ia cukup jelas. Perbincangan atas dasar peribadi pemimpin PAS dengan pemimpin Umno dibolehkan.
"Majlis Syura berperanan memberi pandangan dari segi hukum. Pertimbangan sama ada hendak izinkan atau tidak adalah semata-mata pertimbangan politik kecuali yang terserempak di mana-mana sudah tentu tidak munasabah untuk diambilkira," katanya dalam satu kenyataan dari Afrika.
Rabu lalu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan isu muzakarah di antara pemimpin PAS dan Umno sudah ditutup fail dan ia diganti dengan muqabalah (perjumpaan biasa).
Malah katanya perjumpaan diadakan sebelum ini langsung tidak membincangkan kononnya PAS akan menyertai semula Barisan Nasional.
Keputusan Majlis Syura pada 23 April lalu membenarkan pertemuan diadakan dengan pemimpin Umno. Bagaimanapun pertemuan tersebut hanya berlangsung pada 20 Julai lalu.
Husam juga berkata, jawatankuasa PAS Pusat seharusnya dirujuk sama ada perjumpaan peribadi seperti itu boleh diteruskan kerana ia tidak dikaitkan dengan parti.
Oleh itu beliau berharap ahli dan penyokong parti termasuk pengedar Harakah di kalangan kaum India yang difahamkan menghentikan seketika mengedar akhbar itu dapat menarik nafas lega. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan