HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Julai 2008

Isu Batu Putih: Rais temui Yeo
Daripada JOHARDY IBRAHIM


SINGAPURA – Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menemui rakan sejawatnya dari Singapura, George Yeo hari ini bagi membincangkan hasrat republik itu yang mahu menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Putih.

Dalam pertemuan tersebut, Rais dan Yeo bersepakat untuk membawa hasrat Singapura itu ke Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura bagi mencari format dan menentukan skop tuntutan itu.

Menurut Rais, ia termasuk usaha mengenal pasti bidang-bidang seperti perundangan dan teknikal serta keperluan melantik pakar-pakar luar bagi membantu menentukan kesahihan sebarang tuntutan.

“Tidak timbul soal ugutan atau sesuatu yang di luar jangkaan. Hubungan Malaysia-Singapura tidak sama sekali terjejas kerana isu ini.

“Hubungan Malaysia-Singapura adalah sangat baik, di landasan saling membina.
Persekitaran persahabatan, kerjasama dan saling menghormati tetap utuh seperti sedia kala,” ujarnya.

Rais berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-41 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Singapura, Balaji Sadasivan yang berkata, Singapura mahu menuntut kawasan perairan wilayah dan EEZ di sekitar Batu Putih.

Pada Mei lalu, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Putih dan Malaysia pula bagi Batuan Tengah, manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana terumbu itu terletak.

Malaysia telah menegaskan bahawa ia akan terus mencari bukti mengenai kes Batu Putih dengan hasrat untuk mendapatkan satu semakan penghakiman ICJ terhadap keputusan yang menyerahkan batuan itu kepada Singapura.

Menurut Rais, Yeo juga bersetuju dengannya bahawa jika wujud keperluan untuk membincangkan aspek teknikal atau perundangan mengikut undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kedua-dua pihak akan mendapatkan nasihat pakar-pakar berkenaan terlebih dahulu.

“Kita akan menunggu laporan jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa ini akan mengemukakan laporan kepada kerajaan masing-masing untuk diteliti.

“Jika wujud permasalahan, barulah kita akan membawa perkara ini ke atas. Masalah berkaitan teknikal atau perundangan pasti ada. Oleh itu, kita perlu kemukakan kepada kerajaan masing-masing dulu,” ujarnya.

Dalam konteks ini, beliau berkata, laporan akhbar yang menggambarkan wujud ugutan dari Singapura adalah tidak benar.

Kata Rais, persoalan bantahan pun tidak timbul kerana laporan teliti perlu diperoleh daripada Jawatankuasa Teknikal Bersama itu kelak.

Tiada ulasan: