Rakyat tukar pada NGV perlu diberi subsidi
Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR - Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim mencadangkan kerajaan memberi subsidi kepada rakyat untuk menukar enjin petrol kepada NGV sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Beliau berkata, setiap penukaran enjin petrol kepada NGV akan melibatkan kos antara Rm2000 hingga Rm3000.
"Jika kerajaan dapat berikan satu skim bantuan kepada rakyat misalnya RM1,000 seorang sebagai insentif untuk tukar enjin ianya adalah lebih baik,"katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, penggunaan NGV yang lebih murah seterusnya akan memberi kesan jangka panjang yang mana harga petrol mungkin akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
"Baru-baru ini Perdana Menteri melancarkan kereta menggunakan elektrik, bukan itu sahaja bahkan kita juga ada kereta menggunakan hidrogen, semua ini adalah untuk mengurangkan beban akibat kenaikan harga minyak,"katanya.
Terdahulu, Ahmad Rusli dalam soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Dato' Seri Panglima Lajim Ukin berkata, NGV adalah sumber alternatif yang ada dan murah serta boleh meringankan beban rakyat.
"Apakah kerajaan bersedia memberikan subsidi menukarkan enjin petrol kepada NGV kepada rakyat kerana harga petrol yang diumumkan kerajaan baru-baru ini cukup memberi kesan kepada rakyat,"katanya.
Dalam soalan asalnya, Senator Sharifah Azizah Syed Zain meminta Menteri pengangkutan menyatakan adakah pihak kementerian menyediakan garis panduan bagi pengusaha NGV yang semakin mendapat sambutan bagi memastikan pengguna tidak teraniaya. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan