HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2008

Lantik peguam – Idris Nak saman kerajaan atau hadapi semua pendakwaan ?
SM NOOR


Tindakan Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh yang dikatakan melantik seorang peguam bagi pihak beliau menimbulkan pelbagai tandatanya.

Tidak dapat dipastikan, samada tindakan itu adalah persediaan untuk menyaman kerajaan negeri, atau Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said atau persediaan menghadapi penyiasatan yang akan dijalankan keatas kejohanan perahu layar Piala Monsun.

Bagaimana pun Pegawai Khas Idris, Kamarulazman Idris berkata pelantikan peguam tersebut adalah untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakannya.

Utusan Online melaporkan, Ahmad Said pada Rabu lalu mengedarkan senarai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive di kalangan anggota Exco Terengganu dengan perbelanjaan paling tinggi melibatkan kereta yang pernah dipakai Idris berjumlah RM235,123.08, satu jumlah tertinggi di kalangan anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mokhtar Nong mengakui berlaku kesilapan daripada segi pengiraan iaitu kos sebenar penyenggaraan kereta itu adalah RM131.449.83.

Kamarulzaman berkata, tindakan Ahmad mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat boleh menjejaskan reputasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu.

Menurutnya, kejadian itu menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri sekarang tergesa-gesa membuat kenyataan tanpa memikirkan kesan tindakan tersebut walaupun kemudian ia membuat permohonan maaf.

''Rakyat Terengganu seolah-olah dikelirukan dengan tuduhan bahawa Idris yang merupakan Menteri Besar ketika itu bersalah kerana mempunyai rekod penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive yang paling tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kamarulazman berkata, isu itu tidak perlu dipolitikkan kerana ia hanya akan menjatuhkan imej dan karier politik Idris yang ketika ini tidak berpeluang untuk menjawabnya.

Kamarulazman memberitahu, keadaan yang berlaku telah meninggalkan kesan mendalam kepada bekas Menteri Besar itu yang kini mengikuti satu kursus selama sebulan di Perancis dan dijangka pulang ke tanah air pada 8 Ogos ini.

''Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meminta maaf kepada Idris di atas kesilapan yang berlaku," ujarnya.

Sementara itu, semalam Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kini boleh menjalankan penyiasatan ke atas penganjuran kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong.

Abdullah berkata jika sekiranya BPR mendapati ada sebab-sebabnya yang perlu BPR membuat siasatan mengenainya kerana diragui atau disyak ada unsure-unsur yang berkaitan dengan rasuah, terserah kepada BPR (untuk) menentukan.

Kejohanan Piala Monsun adalah program yang dikatakan menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP), nama lain bagi wang roayalti minyak.

Piala Monsun menjadi program ‘benchmark’ dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu semasa dibawah pentadbiran Idris.

Kejohanan yang dikatakan bertaraf dunia itu telah sekian lama mengundang kontroversi kerana tiada satu laporan atau penyata rasmi berkaitan perbelanjaan dan untung rugi yang dikeluarkan berkaitan penganjuran sukan tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad juga pernah mempersoalkan penganjuran tersebut yang beliau katakan sebagai “tidak tahu menahu tentang perbelanjaan” penganjuran kejohanan itu.

Laporan Audit Negara 2007 juga ada mendedahkan bahawa akaun amanah monsun cup tidak lengkap dimana tidak dinyatakan sumber-sumber pendapatan dan butiran perbelanjaannya dengan jelas.

Mei lalu, Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan wang royalti dan telah membuat laporan polis dan BPR.

Pengerusinya Mohd Fauzi Abu Samah, berkata keraguan timbul selepas beberapa akhbar melaporkan bahawa kedua-dua Menteri Besar dan bekas Menteri Besar Terengganu tidak tahu kemana perginya wang royalti tersebut.

BPR telah membuat siasatan, ekoran pendedahan kos senggaraan ‘yang tidak munasabah’ Proton Perdana V6 Executive di kalangan anggota Exco Terengganu.

Tiada ulasan: