Guru kesal Kafa,Jaip diperguna Umno untuk sokong Abdullah
Basiron Abdul
TEMERLOH - Ada pihak tertentu di dalam Umno dipercayai telah memperalatkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) negeri itu menghadiri suatu majlis menyokong Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi di Putrajaya.
Sumber guru Kafa memberitahu, pada 12 Julai lalu, mereka diarah menaiki bas ke Putrajaya kononnya untuk bertemu dengan Perdana Menteri berhubung isu berkaitan Kafa.
Semua perbelanjaan tambang, makanan dan wang saku sebanyak RM50.00 ringgit ditanggung oleh penganjur.
Apabila bas yang membawa guru-guru berkenaan sampai di Plaza tol Bentong, barulah guru berkenaan mengetahui tujuan mereka dibawa ke Putrajaya iaitu untuk menghadiri suatu majlis menyokong Presiden Umno bersama beberapa NGO dari seluruh negara.
"Kami diberi wang tunai lima puluh ringgit dan spanduk yang mempunyai kata-kata menyokong kepimpinan Abdullah Badawi oleh penganjur,"ujar seorang daripada guru yang enggan mendedahkan namanya.
Beliau kesal kerana penganjur tidak menjelaskan perkara sebenar sebelum bertolak ke Putrajaya.
Katanya, penganjur menggunakan Jaip bagi mengarahkan guru kafa menyertai rombongan tersebut.
"Kami guru Kafa bukanlah alat politik untuk pihak tertentu sebaliknya kami adalah pendidik yang mendidik anak bangsa mengenal al Quran dan fardhu ain, mengapa kami diperalatkan,"soal beliau.
Beliau berharap pada masa depan Jaip berhati-hati dengan tindak tanduk golongan berkepentingan yang cuba menggunakan Jaip untuk kepentingan politik. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan