HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

PPP syor semua komponen BN bubar untuk tubuh Parti BN


KOTA BHARU: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M.Kayveas mengesyorkan agar semua parti komponen Barisan Nasional dibubarkan dan kemudiannya bersatu menubuhkan sebuah parti baru dinamakan Parti BN.

Katanya, cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar PAS dan Umno dibubarkan adalah satu cadangan munasabah tetapi perlu diperluaskan kepada semua parti dalam komponen BN.

"Di Malaysia tidak perlu banyak parti, cukup ada Parti BN dan parti Pakatan Rakyat. PPP bersetuju dengan cadangan tok guru (Nik Aziz) itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tiga hari lepas, Nik Aziz membuat cadangan agar PAS dan Umno dibubarkan dan ditubuhkan sebuah parti baru berteraskan Islam.

Kayveas berkata, gabungan PAS dan Umno sahaja tidak memadai kerana ia hanya bertujuan menyelesaikan masalah perpaduan bangsa Melayu dan juga Islam tetapi jika Parti BN diwujudkan, ia akan menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum dan agama.

"Kalau PAS dan Umno gabung ia tidak cukup, nanti apa kata parti lain," katanya.

Beliau berkata, siapa yang menjadi presiden parti itu dan Perdana Menteri bukanlah menjadi soal kerana perpaduan dalam BN yang ada ketika ini boleh diteruskan.

"Kita sudah menerima sejak merdeka siapa (saja) yang menjadi Perdana Menteri, dan (menerima) Islam sebagai agama rasmi, dan tidak sebab mana-mana pihak boleh mempertikaikan lagi perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Mengulas tindakan DAP yang tidak berpuas hati terhadap PAS mengenai isu itu, Kayveas mengesyorkan agar DAP bergabung sahaja dengan Parti Keadilan Rakyat untuk menubuhkan sebuah parti baru. BERNAMA

Tiada ulasan: