HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

Sistem pengagihan kuasa untuk pentadbiran tanah di Selangor


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bercadang menggunakan sistem pengagihan kuasa kepada agensi relevan bagi memperkemaskan pengurusan pentadbiran tanah di negeri ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, kaedah itu juga akan dapat mengelakkan berlaku kelewatan dalam proses kelulusan pertukaran hak milik tanah yang pada masa ini hanya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Besar.

"Kalau tidak proses kelulusan akan mengambil masa lama dan banyak permohonan akan tertangguh. Bayangkan semalam (Ahad) saya tandatangan kira-kira 854 permohonan untuk tukar status hak milik tanah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel mengenai pengurusan tanah di sini, hari ini.

Beliau berkata, sistem pengagihan kuasa itu boleh dilaksanakan kerana semua maklumat mengenai tanah telah direkodkan dalam sistem komputer.

Abdul Khalid menjelaskan, undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa diberikan kepada Menteri Besar berkaitan soal tanah supaya jika berlaku kesilapan, kerajaan negeri akan bertanggungjawab untuk memperbetulkannya. BERNAMA

Tiada ulasan: