HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

PAS adakan Mesyuarat Khas 31 Julai
Harakah Daily


KUALA LUMPUR : Para pemimpin PAS dijangka akan mencapai kata sepakat yang muktamad terhadap status perhubungan parti itu dengan Umno selepas mesyuarat khas mereka 31 Julai ini.

Mesyuarat bersama anggota Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat itu dipanggil khas untuk membincangkan hubungan parti Islam itu dengan Umno ekoran kekeliruan yang berlaku tentangnya.

Mesyuarat itu diadakan selepas seminggu Majlis Syura Ulamak mengadakan pertemuan mereka 23 Julai lepas di Kota Bharu.

Dalam mesyuarat di Kota Bharu itu, pemimpin Majlis Syura memutuskan tidak akan ada pengkongsian kuasa dengan Umno dan muzakarah sudah tutup fail, yang ada hanya pertemuan biasa sahaja iaitu muqabalah.

Menurut sumber, mesyuarat ini diadakan ekoran kecelaruan kenyataan dan pendapat di kalangan pemimpin PAS berkaitan dengan isu hubungan antara PAS dan Umno.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga telah campur tangan dengan mendakwa PAS tidak mempunyai kredibeliti lagi apabila berbincang dengan Umno ketika bekerjasama dengan parti itu dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, Karpal meminta Pakatan mengkaji kedudukan PAS dalam persepakatan itu.

Dalam masa yang sama, ada juga pihak yang berpendapat hanya pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh meredakan segala kegelisahan dalam Pakatan ini.

Oleh itu, mereka meminta agar mesyuarat di kalangan para pemimpin utama Pakatan diadakan segera.

Tiada ulasan: