HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Julai 2008

Pembinaan masjid, surau di bawah kuasa MAIS


SHAH ALAM - Setiap keputusan untuk membina surau dan masjid di dalam kawasan masing-masing perlu dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terlebih dahulu dan penduduk tidak dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri, Kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin Munawi.

Katanya, walaupun sesuatu kawasan itu sudah diperuntukkan tapak untuk membina surau, ia tidak semestinya boleh diluluskan kerana beberapa aspek lain perlu diambil kira seperti keperluan pembinaannya dan jumlah surau yang terdapat di kawasan itu.

Oleh itu, ia perlu dirujuk kepada Jawatankuasa MAIS kerana jawatankuasa berkenaan akan menilai keperluan tersebut dan jika menepati syarat yang ditetapkan, ia akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diluluskan.

"Sebagai contohnya di Seksyen 7, Shah Alam terdapat banyak tapak surau yang diperuntukkan oleh pemaju, tapi bukan semua tapak itu kita luluskan untuk pembinaan surau kerana tidak mahu jumlah surau yang ada melebihi jumlah jemaah dan akhirnya surau terbiar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden di Kelana Jaya Jumaat lalu melibatkan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne yang ditampar ekoran membantah pembinaan surau Al-Istiqamah kerana dikatakan tidak mendapat kelulusan PBT.

Mengulas mengenai kejadian itu, Khusrin menjelaskan penduduk kawasan terbabit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepatutnya merujuk kepada MAIS sebelum mengadakan majlis pecah tanah surau di kawasan tersebut.

"Mungkin mereka yang terlibat dalam menganjurkan majlis perasmian pecah tanah itu tidak menyedari garis panduan yang sedia ada, oleh itu selepas ini diharapkan ia akan dapat dipatuhi demi kepentingan semua pihak."

Setiap urusan berkaitan surau dan masjid perlu dirujuk kepada MAIS bagi mengelakkan insiden yang sama berulang, bahkan hanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang paling sesuai untuk merasmikan majlis pecah tanah masjid dan surau di negeri ini," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: