HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Julai 2008

Kerajaan negeri akan hantar notis turunkan papan tanda bahasa Mandarin


PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang meminta parti Gerakan supaya menurunkan segera papan tanda berbahasa Mandarin yang dipasang parti itu di beberapa batang jalan raya di negeri ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan menghantar notis kepada parti itu kerana pemasangan papan tanda hanya boleh dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

"Pemasangan papan tanda itu di luar bidang kuasa mereka. Dengan itu, mereka perlu menurunkan papan tanda itu dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Papan tanda jalan itu dipasang Gerakan di enam batang jalan raya di sini.

Chow berkata, kerajaan negeri memang berhasrat untuk melaksanakan pemasangan papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa tetapi ia hanya membabitkan kawasan tertentu sahaja umpamanya kawasan yang mempunyai nilai warisan.

"Kita akan memohon PBT untuk menambah papan tanda jalan menggunakan bahasa selain bahasa Malaysia seperti Mandarin, Tamil, Inggeris dan Arab bagi memudahkan pelancong yang berkunjung ke negeri ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan memasang papan tanda dalam pelbagai bahasa di kawasan warisan bagi memudahkan pelawat memahami lebih mendalam mengenai sejarah sesuatu kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Balik Pulau, Datuk Dr Hilmi Yahaya berkata, tindakan Gerakan menambah papan tanda itu tidak dibincangkan dengan parti komponen Barisan Nasional yang lain sebelum ini.

"Hari ini Gerakan letak papan tanda, esok lusa mungkin parti lain pula. Apapun saya sarankan supaya penggunaan bahasa kebangsaan dikekalkan," katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Shaharrudin Hassan pula mahu tulisan di semua papan tanda nama jalan di negeri itu dikekalkan dalam bahasa Malaysia sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Katanya jika orang Melayu yang merupakan kaum majoriti dapat bertolak ansur dengan tidak menaikkan papan tanda nama jalan bertulisan Jawi atau Arab, beliau tidak nampak kenapa kaum-kaum lain tidak dapat berbuat demikian.

Shaharrudin mengingatkan rakan-rakan parti komponen dalam Barisan Nasional supaya berbincang terlebih dahulu dengan Umno sebelum membuat sebarang keputusan terutama melibatkan kepentingan dan sensitiviti masyarakat Melayu. BERNAMA

Tiada ulasan: