HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Julai 2008

(Dikemas kini)

Penganalisis: Ideologi, persepsi hadang muzakarah Umno-PAS berjaya
Oleh NURUL AIN HUSSAIN


PETALING JAYA: Sejauh mana muzakarah Umno-PAS yang menjadi fokus perbincangan arena politik tanah air sejak kebelekangan ini akan menjadi kenyataan ataupun berjaya?

Mengupas isu ini, pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang dan Pentadbiran Awam Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berpendapat kejayaan muzarahah Umno-PAS banyak bergantung pada persepsi masing-masing parti.

Kata beliau, jika dilihat dari sudut politik, pasti Umno atau PAS akan mendakwa salah satu daripada parti berkenaan akan cuba mendominasi satu sama lain.

“Saya rasa kepimpinan PAS takut Umno cuba mendominasi mereka kerana itu ada yang menentang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Musyidul Am, PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin yang mahu sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno dihentikan segera kerana bimbang akan berlakunya perpecahan dalam parti yang memperjuangkan Islam selama ini.

Pandangan yang sama diutarakan oleh Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor kepada mStar Online semalam.

Sebahagian pemimpin PAS mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan parti itu.

Ahmad turut menjelaskan muzakarah yang disyorkan perlu dilihat kepada matlamat yang ingin dicapai dan semua pihak seharusnya tidak mempolitikkan isu tersebut.

“Jika kita lihat kepada matlamat muzakrah ini saya pasti muzakarah PAS-Umno akan berjaya mencapai matlamatnya, dengan syarat kita tidak mempolitikkan isu tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Jelasnya, muzakarah antara PAS-Umno ini pernah dilaksanakan pada 2000 ketika kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, jelas beliau, ia tidak berjaya kerana kedudukan Umno yang kukuh sementara tiada desakan pelbagai pihak ke arahnya.

Menurut beliau, keadaan sudah berubah ketika pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ini.

“Pak Lah cuba melaksanakan apa yang tidak dicapai ketika era Mahathir. Keadaan hari ini, PAS dan Umno boleh duduk semeja mebincangkan hal-hal berkaitan agama Islam dan orang Melayu.

“Saya dapat merasakan ini satu perkembangan yang baik dan saya lihat muzakarah akan membantu membela nasib dan kepentingan agama Islam dan orang Melayu secara khususnya,” katanya.

Beliau menyifatkan pertemuan ini sebagai satu usaha yang akan memberi kebaikan yang akan menyatupadukan orang Islam sekali gus memelihara kepentingan orang Melayu di negara ini.

Tambah beliau, polisi sesebuah parti politik turut mempengaruhi hala tuju dan proses muzakarah yang berlangsung.

Menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti yang liberal dan tidak memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam secara khusus.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malayisa, Dr. Admad Nidzammuddin Sulaiman berpendapat sebaliknya.

Beliau berkata, muzakarah PAS-Umno ibarat ada udang di sebalik batu.

Kenyataan berbaur prejudis itu dilemparkan kerana beliau secara peribadi tidak menyakini pertemuan muzakarah yang sudah berlangsung sebanyak tiga kali.

“Saya agak ragu-ragu dengan muzarakah antara PAS dengan Umno. Saya berpendapat ideologi politik yang berbeza menyukarkan kejayaan muzakarah tersebut,” katanya.

Jelasnya, beliau menyokong tindakan Nik Aziz meminta pemimpin PAS menghentikan segera muzakarah tersebut kerana bimbang berlakunya perpecahan dalam parti itu sendiri.

“Saya lihat Umno punya agenda tersendiri dengan rencana muzakrah ini. Ia seperti mahu memperkuatkan parti itu kembali setelah kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, Umno mahu menggunakan kesempatan tersebut untuk mengajak PAS bersatu dengan Umno. Namun mengapa ia tidak berlaku ketika Umno berada dalam keadaan stabil?.

Menurutnya, ada pemimpin PAS yang menerima peluang bermuzakarah ini lebih kepada persepsi mahu menyatupadukan umat Islam dan memelihara kepentingan Melayu di negara ini.

Jelas beliau, banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan selain bermuzakarah. Antaranya adalah, melalui agensi kerajaan sedia ada seperti MARA, Risda, Felda dan lain-lain.

“Malah undang-undang dan perlembagaan negara kita turut memelihara nasib dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia,” katanya.


BERITA TERDAHULU:

Muzakarah: Alasan pemimpin PAS tidak sepakat, gimik Umno?

KUALA LUMPUR: Khalid Abdul Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, salah seorang daripada tiga pemimpin yang mengambil bahagian dalam pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam proses muzakarah kedua-dua parti itu, tidak mahu dialog seumpama diteruskan dan perlu dihentikan segera.

"Dari segi muzakarah ini tidak perlu diteruskan. PAS hendak berbincang soal Melayu dan Islam tetapi Umno hanya mahu selamatkan kedudukan mereka," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi petang ini.

Beliau turut mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS yang merupakan anggota Pakatan Rakyat.

Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam turut mendedahkan apa yang berlaku dalam pertemuan pertama yang berlangsung sejurus selepas pilihan raya ke-12 pada 8 Mac lalu.

“Saya tidak ingat tarikh yang pasti pertemuan pertama berlangsung sejurus selepas pilihan raya berakhir," katanya kepada mStar Online.

Beliau antara tiga pemimpin PAS selain Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali yang terlibat dalam muzakarah yang didedahkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Kenyataan Khalid itu dilihat senada dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Tegas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan dengan segera kerana bimbang akan berlakunya perpecahan dalam parti.

Nik Aziz menyatakan demikian sehari selepas Abdullah, yang juga Perdana Menteri mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan dengan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik pertemuan itu.

Dalam pertemuan tersebut, menurut Khalid, selain beliau, PAS diwakili Nasharudin dan Mustafa.

Umno pula diwakili oleh Abdullah dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohammad Khir juga mendedahkan formula dan isu perbincangan dalam pertemuan tersebut menerusi blognya.

Khalid menjelaskan, pertemuan pertama itu telah membincangkan mengenai masalah di Selangor.

Kata beliau, secara asanya perbincangan tertumpu kepada DAP yang berjaya memiliki banyak kerusi di Selangor.

“Pak Lah ada melahirkan kebimbangan mengenai DAP yang berjaya memperoleh banyak kerusi di Selangor. Mereka bimbang akan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di sana terancam," katanya.

Dalam pertemuan tersebut Khalid berkata, PAS telah ditawarkan "gula-gula politik" jika bersedia bersama dengan Umno dan Barisan Nasional.

“Mereka menawarkan kami (PAS) jawatan Menteri Besar jika mahu bersama dengan Barisan Nasional. Kami tidak memberi keputusan, sebaliknya hanya berkata akan memikirkan mengenainya,” katanya.

Menurut beliau, PAS berbuat demikian kerana bimbang Umno akan menggagalkan usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat melantik Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

“PAS hanya bersetuju secara teknikal, sedangkan pada masa yang sama kami telah bersetuju untuk bersama PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Khalid menegaskan, PAS berbuat demikian kerana yakin Umno pasti akan berusaha untuk menggagalkan usaha PKR melantik Khalid menjadi Menteri Besar.

Ditanya mengenai pertemuan kedua, beliau memberitahu, beliau hanya terlibat dalam pertemuan pertama.

“Apa yang saya tahu pertemuan kedua berlangsung di Parlimen antara Perdana Menteri dan PAS hanya diwakili oleh Nasharudin seorang. Apa yang dibincangkan saya tidak pasti,” ujar Khalid.

Ketika ditanya bukankah idea untuk mengadakan muzakarah ini ditimbulkan oleh Presiden PAS sendiri, Khalid berkata:

“Sebenarnya, beliau (Hadi) seorang yang jujur dalam perjuangan untuk membela nasib agama Islam dan orang Melayu di negara ini, sebab itu beliau mahu bermuzakarah dengan Umno,” katanya.

Khalid turut menafikan tersebut perbezaan pendapat antara Nik Aziz dan Abdul Hadi mengenai muzakarah.

Menurut beliau, perbezaan tersebut hanya bersifat luaran dan aspek fundamental masih sama.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju PAS tidak perlu berkongsi kuasa dengan Umno.

Tambahnya, beliau menyokong tindakan Mursyidul Am PAS yang sememangnya menolak sebarang usaha sama dengan Umno kerana bimbang wujudnya perpecahan dalam parti itu.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri mendedahkan kepada media mengenai tiga pertemuan muzakarah dengan PAS baru-baru ini telah pun mengesahkan apa yang diperkatakan oleh Mursyidul Am PAS.

Khalid juga melihat Umno hanya menggunakan peluang muzakarah itu sebagai satu tindakan orang yang terdesak dan hanya mahu menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin lemah.

Tambah beliau, pertemuan pertama yang berlangsung kira-kira satu setengah jam tidak menemui kata sepakat mengenai isu yang sepatutnya diketengahkan.

Tiada ulasan: