HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2008

Lambakan isu dicipta BN untuk alih perhatian rakyat – Mahfuz
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata lambakan isu yang direka BN mutkahir ini tidak berjaya mengalih perhatian rakyat terhadap perubahan yang dibuat Pakatan Rakyat.

Meskipun pelbagai isu timbul bagi menggugat perancangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan BN, ianya sedikitpun tidak berjaya merubah hasrat yang telah digariskan, katanya.

"Kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat pelbagai usaha termasuk isu liwat Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, isu hubungan dalaman parti-parti komponen Pakatan Rakyat serta isu muzakarah PAS-Umno yang bertujuan untuk mengalih perhatian umum selain memberi tekanan kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Namun tambahnya, usaha tersebut masih tidak berupaya untuk menghalang kejatuhan kerajaan BN yang dijangka berlaku pada 16 September ini.

Ahli parlimen Pokok Sena itu mengingatkan kepimpinan Pakatan Rakyat agar memperhalusi segala halangan dan blok yang sengaja dicipta BN yang sedang menyekat usaha tersebut.

"Pakatan Rakyat perlu berbincang serta memperhalusi segala halangan serta rintangan yang sedang dilakukan BN untuk memusnahkan harapan rakyat bagi melihat terbentuknya kerajaan baru.

"Kini rakyat tidak lagi mampu untuk meneruskan kehidupan kerana sudah tidak tahan dengan tekanan yang dialami akibat kenaikan harga minyak dan inflasi tinggi," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau berpendapat usaha yang dilakukan BN juga dibuat bagi menyekat penghijrahan ahli Parlimen BN kepada Pakatan Rakyat.

"Takkanlah ahli Parlimen BN akan meletakkan kepentingan diri dan parti mengatasi harapan serta kepentingan rakyat dan negara," ujarnya.

Mengulas kemungkinan jika misi 16 September tidak tercapai, Mahfuz berkeyakinan ianya masih tetap dapat dilaksanakan.

"Sekiranya tidak tercapai visi tersebut, perjuangan akan tetap diteruskan pada pilihan raya umum ke-13 nanti," ujarnya lagi.

Semalam, Anwar tetap bertegas bahawa Pakatan Rakyat masih berupaya meneruskan perancangan bagi proses peralihan kuasa kerajaan persekutuan.

Dalam satu sidang media pemimpin utama KeADILan itu, beliau menyatakan bahawa meskipun berdepan dengan tuduhan kes liwat ianya tidak sedikitpun mengubah apa yang telah dirancang.

"Tidak, kita tidak mengubah tarikh pembentukan kerajaan persekutuan yang disasarkan September ini," tambahnya.

April lalu, Anwar dilaporkan berkata, yakin dapat berbuat demikian dan mendakwa sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen daripada parti-parti komponen BN terutama dari Sabah dan Sarawak akan melompat parti dan menyertai Pakatan Rakyat.

Ditanya mengenai ahli parlimen daripada BN yang dikatakan melompat parti, beliau berkata,"....kita akan membuat kejutan kepada anda...mesti ada elemen kejutan."/wann _

Tiada ulasan: