Pindaan Akta Pendidikan dibentang 18 Ogos
Oleh Jamdi Nasir
KOTA KINABALU – Kesemua 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara akan mengeluarkan guru berijazah selepas pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 diwartakan.
Pindaan akta itu akan dibentangkan untuk diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Ogos ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pindaan tersebut antara lain bertujuan menaik taraf dan memperkasa status IPG, meningkatkan lagi imej profesion perguruan serta kualiti pendidikan di negara ini.
Menurut beliau, peningkatan keupayaan IPG itu juga sekali gus dapat mengurangkan beban yang kini dipikul oleh universiti-universiti tempatan untuk mengeluarkan guru berijazah.
``Ini adalah antara langkah kementerian dalam usaha kita mencapai kadar 100 peratus guru berijazah di sekolah menengah dan 50 peratus di sekolah rendah menjelang 2010.
``IPG selepas ini akan menjadi sebuah `fakulti' terbesar negara mengeluar guru berijazah dan para pensyarahnya akan terbuka luas untuk proses kenaikan pangkat,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Majlis Wacana Profesional Memartabat Profesion Perguruan di IPG Gaya, di sini malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Abdul Halim Abdul Razak, Pengarah Pelajaran Sabah, Normah Gagoh, pengarah-pengarah IPG Sabah serta lebih 200 pensyarah IPG Gaya dan Kent.
Razali berkata, para pensyarah di IPG yang kebanyakannya pada kedudukan pangkat DG44 akan berpeluang naik sehingga DG54 iaitu sama taraf dengan jawatan seorang Profesor Madya dan Jusa C yang sama kedudukan dengan seorang Profesor di universiti.
``Sekarang ini telah ada laluan ke arah itu dan kita yakin status pensyarah di IPG akan turut mengalami perubahan melalui pindaan-pindaan yang dilakukan terhadap beberapa Seksyen di bawah Akta Pendidikan 1996,'' ujar beliau.
Beliau berkata, sudah tiba masanya semua IPG diperkasakan selaras dengan usia dan pengalaman institusi itu di negara ini yang ada antaranya mencecah usia lebih 70 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan