HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Julai 2008

(Mutakhir)

Masalah tidak serah Borang 9 ganggu AGM cawangan Umno babitkan 3 negeri
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku wujudnya masalah tidak mengemukakan Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan sejak lima tahun lalu, yang hampir melumpuhkan kesemua 23 cawangannya daripada mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ini.

Bagaimanapun kata beliau, masalah tersebut telah diselesaikan, sekali gus membolehkan AGM kesemua 23 cawangan itu diadakan secara berperingkat mulai esok.

“Masalah itu (Penyata Tahunan) telah diselesaikan minggu lalu. Cawangan-cawangan dalam Putrajaya boleh mula bermesyuarat esok," kata beliau ketika dihubungi mStar Online pagi ini.

“Semua cawangan telah pun menghantar maklumat-maklumat yang berkaitan kepada Pendaftar Pertubuhan seperti yang diarahkan,” katanya.

Semalam mStar Online difahamkan cawangan-cawangan tersebut menghadapi masalah untuk mengadakan AGM berikutan kegagalan mengemukakan Penyata Tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan setiap tahun.

Masalah itu berlarutan sejak Bahagian Umno Putrajaya dibentuk lima tahun lalu.

Bahagian Umno Putrajaya merupakan antara entiti terbaru dalam struktur Umno sejak persempadanan semula bahagian pilihan raya diguna pakai sejak 2003.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengakui bahawa cawangan-cawangan dalam bahagiannya tidak pernah mengemukan Penyata Tahunan seperti yang disyaratkan kepada semua pertubuhan.

“Memang benar, perkara ini timbul kerana ketua-ketua cawangan terlepas pandang mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung Umno itu berkata, beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua bahagian di seluruh negara agar memastikan kesemua cawangan mematuhi peraturan Pendaftar Pertubuhan.

Adnan juga memaklumkan beliau turut menerima aduan yang sama dari beberapa negeri seperti Perak dan Kedah mengenai kegagalan beberapa cawangan mengemukakan Penyata Tahunan.

Dalam pada itu, beberapa cawangan Bahagian Putrajaya yang dihubungi mempertahankan pihaknya ada mengemukakan penyata tahunan kepada sekretariat bahagian.

Ketua Cawangan Bunga Pakma, Tengku Bidin Tengku Jusoh menafikan cawangannya tidak pernah mengemukakan penyata tahunan dan turut tersenarai dalam 23 cawangan berkenaan.

Kata beliau, setiap tahun cawangannya memanjangkan laporan tahunan kepada pengurusan bahagian dan oleh itu tidak pasti mengapa wujud masalah tersebut.

"Cawangan saya hantar penyata tahunan setiap tahun. Cawangan lain saya tidak pasti," kata beliau sambil menambah, cawangannya yang mempunyai 130 ahli akan mengadakan mesyuarat tahunan pada 30 Julai ini.

Tiada ulasan: