HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Julai 2008

Mustahil untuk bubarkan Umno
Oleh Bernama


CHANGLUN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Johari Baharom berkata adalah satu perkara yang mustahil untuk membubarkan Umno dan menubuhkan parti baru orang Melayu bersama PAS kerana perjuangan Umno adalah untuk kepentingan semua rakyat.

Beliau berkata Umno bukan hanya untuk orang Melayu dan penubuhan parti baru bagi menyelesaikan masalah orang Melayu tidak ada gunanya kerana matlamat yang diharapkan tidak akan tercapai kerana jelas dasar Umno dan PAS berbeza.

"Umno sebagai tulang belakang kerajaan mempunyai jasa yang amat besar kepada negara dan rekodnya memperjuangkan kepentingan rakyat tidak boleh dinafikan," katanya kepada pemberita ketika mengulas cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Umno dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam untuk menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Penubuhan sebuah parti baru bagi menyelesaikan masalah orang Melayu tidak perlu sebaliknya muzakarah antara Umno dan PAS wajar diteruskan bagi mencapai matlamat yang dikehendaki, katanya selepas melancarkan program Memasyarakatkan MAYANG (Masyarakat Penyayang) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah di sini, Ahad.

Katanya yang penting sekarang, kedua-dua pihak menjalankan muzakarah dengan penuh keikhlasan demi bangsa Melayu.

"Jika benar kita mahu menyelesaikan masalah orang Melayu, kita mesti mempunyai semangat iaitu menolak kepentingan politik masing-masing," katanya yang juga anggota Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu.

Mengenai tindakan Selangor yang tidak mengiktiraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Johari berkata itu adalah hak kerajaan negeri itu.

"JKKKP di bawah kerajaan persekutuan yang membayar semua elaun mereka. Kita memperakukan JKKKP untuk tujuan memantau dan memaklumkan kepada kita berkaitan projek kerajaan persekutuan," tambahnya.

Katanya semua projek kerajaan persekutuan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan dipasang papan kenyataan supaya rakyat tahu projek itu bukan dilaksanakan oleh kerajaan negeri berkenaan.

Mengenai MAYANG, Mohd Johari berkata Majlis Tindakan Negeri Kedah (MTNK) akan menumpukan program untuk membantu golongan miskin dan yang menjadi kepentingan rakyat di luar bandar.

Beliau yang juga Pengerusi MTNK berkata mesyuarat majlis itu baru-baru ini mengarahkan semua agensi persekutuan menyelaraskan semula program mereka supaya tidak bertindih.

Tiada ulasan: