HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2008

Formula 2010 undang 'pemerintahan selesa berisiko'
Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Kumpulan Prihatin Malaysia United Kingdom (KPMUK) menganggap formula peralihan kuasa pada 2010 yang disetujui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalannya, Dato' Seri Najib Razak umpama mengundang ‘ pemerintahan selesa berisiko ‘.

Pengarah Perhubungan Awam KPMUK, Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataannya kepada Harakahdaily mengangap dalam proses peralihan kuasa tersebut, Abdullah dan Najib dilihat seolah-olah memastikan tempat mereka bagi tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, 'pemerintahan selesa berisiko' ialah pemimpin utama kerajaan tidak perlu bersungguh dan komited terhadap tanggungjawab mereka kerana sudah dipastikan tiada siapa yang akan mencabar atau menentang mereka walaupun prestasi kerja tidak memuaskan.

Beliau berpendapat, dalam tempoh 24 bulan sebelum peralihan kuasa, pelbagai perkara dan insiden boleh berlaku dan dirancang.

Katanya, KPMUK melahirkan kegusaran sekiranya rakyat menerima pakai konsep peralihan kuasa ini, kedua-dua pimpinan negara bebas melakukan sebarang keputusan dan tindakan.

Tambahnya konsep peralihan kuasa itu juga mudah terdedah terhadap gejala korupsi dan salah guna kuasa kerana tiada pantauan dan teguran kerana beralasankan ‘ Pak Lah akan undur 2010 ‘.

"Rekod pemerintahan Abdullah dan Najib yang sedia ada tidak boleh dijadikan kayu pengukur terhadap prestasi yang diharapkan oleh rakyat. Kegagalan mereka membela nasib golongan tertindas dan miskin adalah satu kejelasan kegagalan pemerintahan mereka.

"Alasan peralihan kuasa bukan tiket bagi mereka untuk mewajarkan segala kelemahan dan kesilapan sepanjang mereka mempimpin Negara dan rakyat Malaysia,"katanya.

Sehubungan itu katanya, kenyataan Naib Presiden dan Ketua Pemuda Umno bahawa pertandingan bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden Umno wajar diteruskan tanpa sebarang syarat dan tekanan.

Pertandingan secara terbuka boleh memberikan gambaran sebenar kepada rakyat bahawa Abdullah dan Najib bukanlah pilihan rakyat tetapi pilihan diri mereka sendiri, katanya.

Dalam pada itu katanya, KPMUK melahirkan kekhuatiran terhadap kenyataan peralihan kuasa oleh Abdullah akan mengundang pelbagai spekulasi dan kelemahan terhadap pentadbiran negara.

Sehubungan itu katanya, rakyat Malaysia perlu bangkit dan menyatakan kerisauan dan peringatan kepada pemimpin-pemimpin Umno agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingan secara terbuka dan telus tanpa sebarang tekanan dan desakan./wann _

Tiada ulasan: