HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Julai 2008

Geli-geleman muzakarah PAS-Umno
Amin Iskandar


Abdullah Ahmad Badawi kelmarin membuat kejutan dan berjaya menyeret perbincangan politik hari ini kepada isu muzakarah antara Umno dengan PAS apabila mendedahkan terdapat tiga pertemuan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dengannya.

Selain daripada itu, presiden Umno turut menyemarakkan pertembungan dalam PAS apabila memberitahu bahawa pertemuan tersebut tidak melibatkan menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS.

Sebagai reaksi kepada kenyataan perdana menteri, exco kerajaan Kelantan, Husam Musa menyifatkan tindakan Abdullah mendedahkan tentang terdapatnya pertemuan sebanyak tiga kali dengan pemimpin PAS sebagai satu cara "menabur benih perpecahan" dalam PAS.

Naib presiden PAS itu juga mendakwa tindakan Abdullah tersebut sebagai satu usaha memperkuatkan kedudukannya dalam pergolakan dalaman Umno yang tidak menentu dan meminta agar pimpinan PAS berhati-hati dengan perangkap tersebut.

Sementara itu, presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya yang disiarkan di Harakahdaily.net tidak menafikan terdapatnya pertemuan antara pemimpin tertinggi PAS dengan Abdullah.

Beliau yang sebelum ini berdolak-dalik mengenai isu pertemuan tersebut, mengakui bahawa timbalannya Nasharuddin Mat Isa, pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustafa Ali dan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad bertemu dengan presiden Umno buat kali pertama sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Abdul Hadi menambah, pertemuan yang telah mendapat persetujuan majlis syura ulama PAS itu bertujuan membincangkan mengenai kepentingan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Khabar angin tentang terdapatnya pertemuan antara Umno dan PAS telah berlegar-legar sebaik sahaja selepas pilihanraya umum lalu.

Antaranya yang paling popular, mengenai pertemuan antara pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan Ali dengan bekas menteri besar Dr Mohamad Khir Toyo untuk membincangkan tentang penubuhan kerajaan campuran PAS-Umno di negeri itu sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum ke-12 diketahui.

Dikatakan Khir bersetuju untuk menyerahkan jawatan menteri besar kepada Hasan dan sanggup turun pangkat menjadi timbalan menteri besar jika kerajaan campuran dua parti Melayu itu berjaya dibentuk di Selangor.

Namun usaha ini dikatakan gagal kerana presiden PAS tidak bersetuju dan menyokong Khalid Ibrahim untuk mengepalai kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ketika khabar angin ini kencang bertiup, saya mengambil sikap tidak mempedulikannya kerana menyangka ia hanyalah taktik kotor polis Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman yang menyebar-nyebarkan khabar angin untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat yang baru sahaja memerintah beberapa negeri di Malaysia.

Tambahan lagi, saya langsung tidak menyangka bahawa terdapat golongan tertentu dalam PAS yang mempunyai niat untuk membawa parti tersebut menyertai BN.

Di kala terdapat parti komponen BN yang ingin mengusulkan undi tidak percaya kepada gabungan yang dipimpin oleh Abdullah, masakan PAS ingin menjadi penyelamat kepada gabungan yang hampir terbarai itu?

Ketika Umno yang memimpin BN hilang kredibiliti dan sokongan daripada rakyat terutamanya masyarakat bandar, masih ada pemimpin PAS yang cuba menyelamatkan mereka dengan menggunakan hujah "penyatuan umat Islam dan perpaduan Melayu".

Rasa geli-geleman apabila mendengar hujah ini.

Hujah sama yang sering digunakan oleh Umno untuk menghalalkan tindakan merompak harta kekayaan negara, menaikkan harga minyak dengan sewenang-wenangnya, menggunakan akta ISA termasuk menangkap ramai pemimpin PAS, membunuh kerana kepentingan politik seperti tragedi Kampung Memali pada 1985, memperbodohkan rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan banyak lagi yang tidak mungkin dapat disenaraikan di sini.

Sebenarnya, idea menyatukan Umno dan PAS ini idea lama yang dipelopori oleh Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia kedua. Pada ketika itu, Perikatan mengalami kemerosotan yang teruk dalam pilihanraya umum 1969.

Perikatan hilang kuasa majoriti di parlimen buat kali pertama dalam sejarah pada pilihanraya yang diadakan pada 10 Mei 1969.

Prestasi buruk Perikatan telah mendorong kepada berlakunya tragedi berdarah 13 Mei yang melibatkan kaum Melayu dan Cina. Tragedi tersebut menyebabkan parlimen digantung dan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipimpin oleh Abdul Razak.

Setelah berjaya mendapatkan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman, bapa Najib memulakan usaha menarik PAS masuk dalam Barisan Nasional, satu “formula baru” yang dicetak rompak daripada Barisan Sosialis untuk menggantikan Perikatan.

Alasan membawa masuk PAS bersama BN bertujuan menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Pada ketika itu PAS dipimpin oleh Mohd Asri Muda setelah beliau mengambil alih jawatan yang dipertua daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Selain PAS, PPP dan Gerakan juga dibawa masuk menyertai BN setelah Mageran dibubarkan.

Apabila Umno kembali kuat dan merasakan PAS mencabar kedudukan mereka, PAS dipecat daripada BN pada 14 November 1977. PAS ditendang keluar sebelum cukup lima tahun berada dalam BN!

Hari ini, kecuali rusuhan berdarah, keadaan seakan-akan sama dengan apa yang berlaku selepas pilihanraya umum 1969. BN hilang kuasa dua pertiga di parlimen dan beberapa negeri jatuh kepada Pakatan Rakyat.

Umno semakin lemah, sementara MCA dan MIC hilang banyak kerusi termasuk kerusi tradisi mereka.

Hari ini, anak Abdul Razak sudah di tangga timbalan perdana menteri. Beliau sekarang dalam keadaan yang sama seperti ayahnya selepas pilihanraya 1969. Cuma beliau agak malang sedikit kerana pada ketika ini, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu sering menghantuinya – walaupun beliau dan isterinya menafikannya – sekali gus membantutkan usahanya untuk merampas kekuasaan daripada Abdullah.

Sebab itu, tidak menghairankan jika pada hari ini, jalan cerita yang ingin dimainkan masih sama.

Seperti juga Mukhriz Mahathir yang membawa watak yang pernah dilakonkan oleh ayahnya pada 1969 apabila menulis surat meminta Abdullah meletakkan jawatan dan membocorkannya kepada media.

Hanya pengarah dan pelakonnya berbeza.

Tidak hairanlah jika Nik Aziz benar-benar tidak bersetuju dan marah dengan usaha-usaha segelintir pemimpin PAS untuk berunding dengan Umno. Beliau tidak mahu luka lama berdarah kembali.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Global Media Channel, Nik Aziz menentang muzakarah antara PAS dan Umno kerana tidak mahu sejarah hitam ketika PAS menyertai BN dahulu berulang semula.

Mursyidul Am PAS juga mengatakan bahawa muzakarah PAS-Umno hanya akan menyebabkan penyokong PAS peringkat bawahan marah dan pimpinan Pakatan Rakyat mencurigai parti tersebut.

Nik Aziz yang marah dengan muzakarah PAS-Umno turut bersetuju jika Umno lenyap terus darii muka bumi ini.

Kepada pihak PAS yang pro-muzakarah pula, selain agenda Melayu dan perpaduan umat Islam, apakah mereka turut membincangkan tentang pemansuhan akta ISA?

Apakah Umno bersedia memohon maaf atas tindakan mereka memenjarakan pemimpin-pemimpin PAS bawah ISA? Apakah dalam perbincangan tersebut, Umno turut bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka mengenai jenayah mereka terhadap ahli PAS di Memali, Kedah?

Apakah Nasharuddin – yang pernah memimpin demonstrasi membantah kenaikan harga minyak pada 2006 sebaik sahaja kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dengan menjeritkan slogan BN = Barang Naik – telah berjaya diyakinkan bahawa harga minyak akan diturunkan sebaik sahaja PAS menyertai BN semula?

Jika pertemuan tiga kali antara pemimpin PAS dan Abdullah hanya membincangkan tentang pengagihan jawatan dan usaha memecahkan Pakatan Rakyat, ia tidak layak dipanggil muzakarah.

Ia lebih sesuai dipanggil "mu*****ah".

Tiada ulasan: