HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2008

Empat Pemandu Exco Disoal BPR
SM Noor


Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mokhtar Nong mengesahkan empat pemandu Exco Kerajaan Negeri Terengganu disoal oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkaitan kos ‘terlampau’ penyenggaraan Proton Perdana V6.

"Saya mengesahkan pegawai BPR telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Exco berhubung perkara berkenaan dan pada hari ini mereka selesai berbuat demikian kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita.

Enam pegawai BPR berkenaan telah ‘berkampung’ di Wisma Darul Iman, sejak petang kelmarin bagi menyemak dan mengambil dokumen-dokumen berkenaan untuk disiasat, ekoran pendedahan Meneteri Besar Dato’ Ahmad Said berkenaan kos penyenggaraan Perdana V6.

Ahmad berbuat demikian sebagai justifikasi tindakan kerajaan negeri membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi kegunaan Exco dan pegawai kanan.

Kelmarin, pejabat Menteri Besar telah mengeluarkan kenyataan bahawa kos penyelenggaraan dua kereta Proton Perdana V6 mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini.

Isu pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor telah berlanjutan sejak berita mengenai perkara itu didedahkan oleh pihak media pada 20 Julai lalu.

'Sangkaan' kerajaan Terengganu bahawa pembelian Mercedes menggantikan Proton Perdana V6 itu hanya akan dieksploitasi oleh pembangkang tiba-tiba menjadi pertikaian dalaman antara kerajaan negeri dan pusat apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak memberikan respon.

Perkara yang dianggap ‘remeh’ sudah menjadi isu perlanggaran dasar kereta nasional kerana terdapat pekeliling diedarkan yang melarang pembelian sebarang kereta buatan luar negara untuk kegunaan ‘eksekutif’ kerajaan.

Isu pembelian Mercedes bertukar menjadi isu penyelewengan penyenggaraan Perdana V6 apabila banyak pihak mempersoalkan mengapa kos penyenggaran begitu 'terlampau.

Justeru itu, selain empat pemandu, difahamkan, pegawai BPR turut mengambil keterangan daripada beberapa pegawai kanan di pejabat SUK.

"Saya tidak tahu...(bagaimanapun) kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada BPR bagi memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.

"Jika ada penyelewengan, kerajaan negeri tiada mempunyai masalah dengan BPR untuk mengambil tindakan," katanya ketika ditanya sama ada BPR akan mengambil keterangan daripada beberapa individu lagi.

Beliau menjelaskan kereta Proton Perdana V6 Executive itu, telah dihantar sendiri oleh pemandu exco atau pegawai kanan kerajaan negeri itu untuk diselenggara di bengkel-bengkel yang dilantik dan pihaknya akan membuat bayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakan.

Mokhtar berkata setiap exco kerajaan negeri mempunyai dua pemandu iaitu seorang yang merupakan kakitangan tetap dan seorang lagi yang dilantik sendiri oleh mereka secara kontrak.

Menurut beliau kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor yang baru dibeli, sementara menunggu surat rasmi daripada Kabinet berhubung arahan tidak membenarkan penggunaan kereta berkenaan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

"Sebanyak 15 buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco, masih diguna sama oleh pegawai kanan kerajaan negeri," tambahnya.

Tiada ulasan: