HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2008

Muzakarah tenggelamkan isu minyak, pembunuhan Atantunya
Ustaz Idris Ahmad


Bijak sungguh media perdana melarikan isu rakyat. Semua orang bercakap isu muzakarah. Kalau dulu sambil bubuh minyak, ada maki Umno-BN, kerana minyak mahal. Kadang-kadang penjaga pam yang tidak berdosa pun kena marah kerana minyak mahal. Dia tidak berdosa yang berdosanya pemimpin dan orang yang mengundi BN kerana pemimpinnya telah menindas rakyat dan mencekik darah rakyat.

Memang pemimpin Umno ini daripada awal lagi tidak boleh percaya. Sejarah pengkhianatan Umno pada Islam dan Melayu amat banyak. Umno yang sudah berumur 62 tahun, kalau ikut umur umat Nabi Muhammad s.a.w. nampaknya umurnya semakin hujung usia.

Umno lemas sekarang, kalau ada buaya di depan pun ia akan berpaut. Ia memerlukan talian hayat kerana nyawa sebenarnya sudah tidak ada. Umno menghidap penyakit kritikal, kencing manis, darah tinggi, jantung, gaut. Sudah nazak, untuk ditalkin sahaja.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah mainan media yang menjadi kuda tunggangan Umno untuk menghancurkan perpaduan parti dan menimbulkan rasa curiga di kalangan Pakatan Rakyat. Mereka cuba menimbulkan keraguan supaya Pakatan Rakyat berpecah sesama sendiri.

Akhbar dan media perdana melaporkan (20 Julai), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan ada tiga kali pertemuan dengan pimpinan tertinggi PAS membincang masalah Islam dan Melayu.

Maka malam 20 Julai, Harakahdaily menyiarkan kenyataan Presiden PAS memang ada pertemuan selepas PRU ke-12 yang diwakili oleh YB Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Dato’ Mustafa Ali (Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat) dan YB Khalid Samad iaitu Timbalan Pesuruhjaya Selangor.

Persoalannya kenapa Abdullah mendedahkan perkara ini kepada media. Apa perlu beliau membuat kenyataan ini. Daripada awal lagi kita sudah melihat pemimpin Umno tidak jujur. Di sini kita boleh andaikan bahawa tujuan dia untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat dan menimbulkan kerisauan pengundi PAS yang kononnya PAS hendak masuk BN.

Presiden Umno juga hendak menunjukkan kepada rakyat walaupun nampak lembik macam tidak cukup zat besi, "Aku berjaya menundukkan PAS yang boleh dianggap 'Singa Malaya' untuk ikut aku. Maka tertolaklah hujah yang mangatakan aku tidak bermaya seperti yang selalu dihujah oleh musuh politik dalam Umno sendiri."

Saya mengharapkan penyokong PAS dan pengundi PAS, jangan bimbang. PAS bukan parti 'Hasan Putu Mayong' tetapi PAS adalah jamaah yang ada prinsip, rujukan yang kemas dan organisasi yang mantap sehingga ke pelosok kampung.

Sebarang keputusan yang PAS hendak buat, tidak boleh secara peribadi. Ia mesti dirujuk kepada parti dahulu. Setakat artikel ini ditulis tidak pernah sepatah kita bincang untuk masuk BN (wali'yazubillah) dalam mesyuarat PAS Pusat.

Pandangan peribadi tidak boleh diterima dan dipaksa untuk jamaah. Percayalah PAS tidak akan mengkhianat amanah umat. Kita berpegang kepada hadis Nabi s.a.w. "orang Islam berpegang kepada janjinya." Insya-Allah sejarah persahabatan kita dengan orang lain, bukan kita yang meninggalkan kawan.

Saya mengharapkan program menganyang Umno-BN diteruskan. Talian hayat Umno mesti dikerat, bekalan oksigen mesti diputuskan supaya PAS sebagai penggantinya.

Umno jangan cuba untuk jadi juara Melayu dan Islam. Kerana Umnolah menyebabkan pemetaan politik rosak, sistem kehakiman, pengurusan ekonomi jahanam. Ayoh rakyat tumpukan agenda rakyat yang sedang menghimpit rakyat dengan tekanan hidup dengan harga barang keperluan yang naik setiap minit, bukan lagi setiap hari. - lanh

Tiada ulasan: