Harga kurma naik mendadak tahun ini
Agensi
JEDDAH: Pengeluar kurma, Arab Saudi memberi amaran produk mereka akan dijual pada harga lebih tinggi tahun ini.
"Disebabkan peningkatan kos operasi dan bahan, termasuk pengangkutan, mesin dan gaji, kami tiada pilihan lain selain menaikkan harga sebanyak 25 peratus," kata Timbalan Pengurus Besar Bateel Dates, Muntasser Faddhi, di Riyadh.
Laporan Arab News menyebut, Faddhi juga menambah pengimportan bahan penting, seperti serbuk coklat dan buah-buahan, menelan kos lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
"Keseluruhannya kami berdepan dengan kenaikan dalam kos pengeluaran sebanyak 35 hingga 40 peratus," katanya sambil menambah badam yang digunakan dalam produk dibeli pada harga dua kali ganda lebih mahal berbanding tahun lalu.
Pemilik syarikat perdagangan di Jeddah, Hani O Mohammed, yang khusus dalam import dan eksport produk pertanian seperti kurma, berkata alasan lain bagi kenaikan harga hasil tuaian baru ialah kekurangan pekerja mahir dan cuaca buruk.
"Pemilik ladang kurma di Wilayah Tengah berkata hasil tanaman lebih rendah tahun ini disebabkan masalah ribut pasir yang melanda negara ini lebih awal berbanding biasa tahun ini dan merosakkan kurma sebelum boleh dipetik," katanya.
Kekurangan pekerja berpengalaman yang memilih untuk kembali ke rumah berikutan keadaan ekonomi lebih baik di negara asal dan tuntutan gaji lebih tinggi turut menjadi faktor penyumbang kenaikan harga kurma.
Menurut anggaran Mohammed, harga kurma akan meningkat sebanyak 20 hingga 35 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan