HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

(Dikemas kini)

Meliwat: Anwar mahu siasatan dihentikan, laporan doktor HKL dipertahan
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

Sehubungan itu, tegas Anwar, beliau mahu polis menghentikan dengan segera siasatan yang dijalankan berhubung isu berkenaan.

"Saya harap pihak polis mengentikan siasatan yang dijalankan dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara kerana saya percaya tiada kes," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan tetap menerima penemuan pemeriksaan ke atas bekas pembantu khas Anwar yang dijalankan oleh doktor-doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung dakwaan dia diliwat.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau sekali lagi dimomokkan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional kerana sudah terbukti paling penting iaitu laporan doktor perubatan yang pertama ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Semalam, portal berita Malaysia Today mendakwa polis telah menahan seorang doktor bagi membantu siasatan kes liwat membabitkan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, portal berkenaan juga mendedahkan salinan laporan pemeriksaan doktor di sebuah pusat rawatan swasta di Kuala Lumpur, menjelaskan tiada kesan meliwat terhadap bekas pembantu kepada Anwar, Mohd Saiful.

Malah, semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta polis turut memberi tumpuan terhadap dakwaan terbaru bahawa tiada unsur meliwat tehadap Mohd. Saiful.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai pula telah meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican melihat perkembangan tersebut dengan memastikan aspek profesionalisme amalan perubatan dipatuhi.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat masih yakin dengan kandungan laporan perubatan pertama dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

“Nampaknya siasatan polis cuba menutup bukti paling penting iaitu laporan kesihatan doktor pertama yang menjalankan siasatan terhadap Saiful,” katanya.

“Ia juga ada kaitan dengan laporan polis yang saya buat terhadap (Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa (Hassan) dan (Peguam Negara, Tan Sri) Gani Patail kerana memalsukan maklumat pada kes 1998.

“Saya sudah memberi kerjasama pada polis termasuk terpaksa berbogel walaupun saya tak pernah yakin dengan kaedah siasatan yang dijalankan," katanya.

Anwar mendakwa, beliau enggan memberikan sampel DNA sebab tahu perkara ini akan berlaku.

“Inilah sebabnya mengapa saya enggan menyerahkan sampel darah saya untuk ujian DNA kerana yakin ada konspirasi jahat terhadap saya,” katanya.

“Saya amat berharap agar kerajaan hari ini meninggalkan kaedah yang tidak profesional dan dendam dengan menghukum musuh politik dengan pelbagai cara,” katanya.

Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita semalam sebagai tulen dan benar.

Ditanya adakan beliau risau akan keselamatan doktor tersebut, "ya, sudah pasti saya risau tentang keselamatan beliau dan keluarganya kerana tidak mahu pengalaman lalu berulang lagi” seolah-olah merujuk kepada ‘kehilangan’ penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam.

Dalam pada itu, peguam kanan pasukan Anwar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya yakin laporan perubatan doktor Pusrawai adalah tulin.

“Bagi saya tiada sebab wujudnya dakwaan jenayah (liwat) terhadap Datuk Seri Anwar. Keadaan ini juga sangat jelas menunjukkan wujudnya double standard, penipuan dan konspirasi berhubung siasatan terhadap Anwar,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap laporan kesihatan yang pertama itu.

Tiada ulasan: