HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Julai 2008

Mustafa Ali rasmi seminar Harakah dua kali seminggu
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, Dato' Mustafa Ali telah merasmikan 'Seminar Diskusi Pra-Harakah Dua Kali Seminggu' di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Turut hadir dalam perasmian seminar ialah, Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamarudin Jaffar; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar; Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Luthfi Othman dan sidang editorial.

Dalam ucapan perasmiannya, Mustafa menyebut beberapa perkara yang menyentuh isu-isu penerbitan Harakah yang telah dibenarkan terbit dua kali seminggu berbanding sebelum ini dua kali sebulan.

Beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada sidang editorial untuk mengisi kandungan Harakah kali ini agar lebih menarik minat pembaca.

Selain itu Mustafa juga mengingatkan petugas Harakah agar sentiasa melaporkan berita yang benar selain laporan yang tidak bertentangan dengan dasar PAS.

Beliau turut mengumumkan beberapa insentif baru untuk meningkatkan kualiti dan semangat petugas Harakah berhadapan dengan penerbitan yang lebih kerap bermula 15 Ogos ini.

Antara insentif itu ialah, mewujudkan Jabatan Latihan serta kenaikan skim gaji yang lebih memberansangkan.

Sementara itu Pengarah Urusan Harakah yang bercakap sebelum Mustafa turut menyatakan penghargaan kepada petugas Harakah di atas kejayaan Harakah sejak dahulu hingga kini.

Katanya, Harakah adalah satu-satunya akhbar parti di Malaysia ini yang unik dan dapat bertahan lama.

Justeru beliau mengharapkan hasil kerja keras semua pihak dalam Harakah, kualiti akhbar ini dapat dipertingkatkan. _

Tiada ulasan: