HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

Ahmad Said mahu tunjuk kuasa pada Abdullah
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Isu pembelian kereta Mercedes oleh kerajaan negeri Terengganu menggantikan kereta proton Perdana V6 sebagai kereta rasmi kerajaan negeri itu menimbulkan pelbagai polemik.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mendakwa kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang berani menyebutkan mengenai tindakan yang sewajarnya dibuat Badan Pencegah Rasuah supaya menyiasat penglibatan syarikat Spanco, penganjuran kejohanan Monsoon Cup dan projek Masjid Kristal menunjukkan beliau mungkin memiliki maklumat mengenainya.

"Kenyataan berani Ahmad mencerminkan wujud masalah atau isu penyelewengan dan seolah-olah beliau sendiri memiliki maklumat mengenai isu yang disebutkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tidak menafikan tindakan berani Ahmad didorong krisis pelantikan Menteri Besar Terengganu yang melibatkan perbalahan pihak istana serta campurtangan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mahfuz percaya ia merupakan implikasi daripada polemik ketika itu.

"Ahmad Said semacam hendak tunjuk kuasa dengan mengambil sikap untuk bertentangan dengan kerajaan pusat pimpinan Abdullah," ujarnya.

Beliau turut menggesa supaya siasatan perlu dijalankan bagi mendedahkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengendalian kereta-kereta kerajaan khususnya yang melibatkan spanco, seperti didakwa Ahmad Said.

Mengulas mengenai isu pembelian kereta mercedes tersebut, Mahfuz yang juga ahli parlimen pokok Sena menempelak keputusan kerajaan pusat mengehadkan penggunaan kereta tersebut untuk tetamu sahaja.

"Ianya tidak boleh diterima dan kurang munasabah kerana berapa ramai sangatlah tetamu luar yang datang ke Terengganu setiap hari untuk menaiki 14 buah kereta tersebut?" katanya lagi.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar kesemua kereta tersebut dijual kepada mana-mana syarikat atau kerajaan pusat sahaja yang membelinya.

"Sekiranya ianya jarang digunakan kerajaan negeri juga yang perlu menanggung kerugian bagi menampung kos pembaikan memandangkan ianya dibiarkan tersadai dan berhabuk.

"Kerajaan pusat sebenarnya disaran membeli kesemua kereta itu bagi tujuan kegunaan tetamu rasmi luar," ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mengkritik tindakan kerajaan sebelum kereta-kereta tersebut dibeli akibat tidak berfikir semasak-masaknya sebelum memutuskan sebarang tindakan dan keputusan yang boleh mendatangkan kerugian.

"Selepas ianya telah dibeli, kerajaan pusat pula gagal memberikan penyelesaian yang berkesan," katanya.

Dalam usaha mempertahankan isu pembelian 14 buah mercedes yang dikatakan membazir, Ahmad Said meminta kerajaan pusat menyiasat kos projek mega di Terengganu iaitu pembinaan masjid kristal dan program tahunan monsun cup. - mks. _

Tiada ulasan: