HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Julai 2008

MB nafi teori gabungan Umno-PAS
Oleh Bernama


Shah Alam : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan teori bahawa PAS akan bergabung dengan Umno setelah kedua-dua pihak bermuzakarah untuk kepentingan Melayu dan Islam.

"Kita berpendapat tidak timbul langsung isu itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pelatih Perempuan di Montfort Boys Town di sini.

Beliau ditanya sama ada Pakatan Rakyat bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan PAS keluar daripada pakatan itu dan menyertai Umno selepas beberapa laporan media sejak kebelakangan ini yang menyatakan kedua-dua parti politik itu pernah mengadakan muzakarah bersama.

Abdul Khalid berkata barisan exco Pakatan Rakyat negeri itu tidak mengendahkan hal berkenaan sebaliknya masing-masing terus bekerjasama meneruskan agenda membela nasib rakyat seperti yang dijanjikan pada pilihan raya umum lepas.

"Saya berharap kita kurangkan perbincangan politik dan banyakkan usaha kebajikan serta kerja membangunkan negeri sebab itu bila ditanya hal seperti ini saya kadangkala tidak akan jawab," katanya.

Beliau berkata perbincangan mengenai hal politik yang terlalu kerap tidak akan menambah nilai terhadap usaha membantu rakyat.

Bagaimanapun, katanya tidak dinafikan dalam politik perbincangan dari semasa ke semasa perlu tetapi mestilah mengikut tempoh yang sesuai.

Tiada ulasan: