HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2008

PM arah guna Perdana
Oleh Wan Hazmir Bakar dan Hanneeyzah Bariah Baharin


PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan Kerajaan Terengganu mesti menggunakan Proton Perdana V6 Eksekutif sebagai kenderaan rasmi ahli Exconya, manakala 14 Mercedes-Benz E200 Kompressor yang sudah dibeli hanya boleh digunakan untuk tetamu negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata keputusan itu dimaklumkan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, malam kelmarin.

"Semalam saya dan Datuk Seri Najib Razak dalam perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu, berbincang perkara ini dan menyatakan bahawa adalah perkara penting dan sudah menjadi keputusan Jemaah Menteri iaitu kerajaan Terengganu jangan gunakan kereta Mercedes untuk Exco mereka.

"Itu sudah jelas, tetapi dalam hal ini kerana Mercedes itu sudah dibeli, kalau nak jual pun akan kerugian nanti, maka saya katakan gunakan Mercedes itu untuk tetamu yang akan datang...itu saja, tak ada lebih tak ada kurang," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Akademik Negara 2007 di sini, petang semalam.

Beliau ditanya wartawan mengenai keputusan Kabinet berhubung isu pembelian 14 Mercedes-Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta oleh kerajaan Terengganu bagi menggantikan Proton Perdana V6 Eksekutif untuk kegunaan Ahli Exco negeri.

Pembelian Mercedes itu mencetuskan kontroversi kerana ia dikatakan bercanggah dengan Pekeliling Perbendaharaan yang mengkehendaki anggota pentadbiran menggunakan kereta nasional sebagai kenderaan rasmi.

Ahmad sebelum ini mempertahankan keputusan membeli Mercedes itu dengan alasan kerajaan negeri tidak mampu lagi menampung kerugian akibat kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif yang tinggi sehingga mencecah lebih RM1.07 juta bagi tempoh 2004 hingga 2008.

Berikutan isu itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut menyiasat perbelanjaan penyelenggaraan kereta berkenaan.

Mengenai kenyataan Ahmad supaya BPR turut menyiasat pelaksanaan projek lain seperti Monson Cup dan Taman Tamadun Islam, Abdullah berkata:

"Biar saja pada BPR, jika BPR dapati ada sebabnya yang perlu ia membuat penyiasatan kerana diragui atau disyaki ada unsur rasuah, terserah kepada BPR. BPR yang akan tentukan."

Tiada ulasan: