HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

PAS Terengganu sokong BPR siasat kereta rasmi bekas MB
Ramli Yamat


BESUT - PAS Terengganu mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat pembaziran wang rakyat semata-mata bagi membaiki kereta Proton Perdana Eksekutif kegunaan bekas Menteri Besar, Dato' Idris Jusoh dan anggota Exconya penggal lalu.

Bendahari Badan Perhubungannya, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata, kos pembaikian kereta tersebut terlalu tinggi sehingga melebihi RM170,000 bagi kereta rasmi Menteri Besar yang jelas tidak munasabah.

"Terlalu banyak duit rakyat digunakan semata-mata bagi membaiki kereta rasmi bekas Menteri Besar dan Exconya. Ini merupakan satu pembaziran.

"Tindakan BPR menyiasat perkara itu amat patut sekali kerana kemungkinan berlaku penyelewengan wang rakyat dalam kes tersebut," katanya pada satu ceramah di Kampung Kubang Bemban dekat sini, baru-baru ini.

Sebelum ini Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said dilaporkan berkata, kerajaan negeri membeli 14 Mercedes Benz E200 Kompressor yang bernilai RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana Eksekutif untuk menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ini kerana kos penyelenggaraan Perdana V6 Eksekutif lebih RM1.07 juta bagi tempoh 2004 hingga 2008.

Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelan turut mengingatkan Menteri Besar Terengganu yang baru tidak mengikut jejak langkah Idris.

"Lepas Datuk Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, saya berjumpa dengannya bagi mengingatkan supaya tidak mengikut jejak langkah Idris yang banyak menyusahkan rakyat dan pihak istana," katanya.

Beliau berkata, semasa mentadbir Terengganu Idris banyak membazirkan wang rakyat dengan melaksanakan projek antaranya membina Masjid Kristal dan benteng pemecah ombak di Kuala Terengganu yang mana perbelanjaannya berkali ganda berbanding harga asal.

Beliau mendakwa kos awal membina benteng pemecah ombak hanya RM50 juta tetapi meningkat kepada RM520 juta.

Malah katanya, bekas Menteri Besar menggunakan wang rakyat bagi membesarkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sedangkan tanggungjawab tersebut di bawah bidang kerajaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, biar pun PAS Besut gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu, namun kegagalan Idris dilantik semula sebagai Menteri Besar merupakan satu kejayaan bagi PAS. - mj/mks._

Tiada ulasan: