HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2008

Tiada penyata, 23 cawangan Umno Putrajaya hadapi masalah adakan AGM
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Kesemua 23 cawangan dalam Bahagian Putrajaya, antara bahagian terbaru dalam struktur Umno, dipercayai berhadapan dengan 'masalah' untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing ekoran kegagalan mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, kesemua cawangan dalam Umno Putrajaya tidak menghantar Borang 9 seperti yang disyaratkan, sejak lima tahun lalu.

“Sememangnya mereka tidak mengemukakan Borang 9 itu sejak awal lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai tempoh ‘sejak awal lagi’ yang dimaksudkan.

mStar Online difahamkan tempoh itu melibatkan sejak Bahagian Putrajaya mula ditubuhkan.

Difahamkan soal menghantar Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan biasanya diuruskan oleh sekretariat bahagian.

Di bawah peruntukan Akta Pertubuhan, sesebuah pertubuhan akan berhadapan dengan masalah - tidak sah jika gagal mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Borang 9 adalah maklumat yang perlu diberi setiap tahun oleh pertubuhan dan cawangan-cawangan pertubuhan berdaftar mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

Antara maklumat yang perlu dinyatakan dalam borang berkenaan ialah minit mesyuarat agung tahunan, salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira untuk tahun kewangan, penjelasan mengenai harta tak alih yang dimiliki pertubuhan dan penjelasan mengenai sebarang wang, harta, faedah atau keuntungan yang diterima oleh pertubuhan.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan menghantar notis 30 hari mengikut Seksyen 14(2) bagi meminta sesuatu pertubuhan itu mengemukakan Borang 9 jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh setahun.

Jika masih gagal mengemukakan borang tersebut dalam tempoh itu, maka notis pembatalan atau bubar sementara berdasarkan Seksyen 14(5) akan dikemukakan kepada pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun Setiausaha Umno Bahagaian Putrajaya, Syokri Shafee ketika dihubungi berkata, kesemua 23 cawangan itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti dijadualkan mulai Sabtu ini.

“Tiada apa-apa masalah mengenai itu (Penyata Tahunan). Cawangan-cawangan dalam Putrajaya akan mula bermesyuarat pada 26 Julai ini dan dijangka selesai sepenuhnya 9 Ogos depan,” katanya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan ketua bahagian tersebut.

mStar Online cuba mendapatkan penjelasan terperinci daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, namun mereka enggan memberi sebarang penjelasan rasmi.

Tiada ulasan: