HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Julai 2008

KUIS Sasar Status Universiti Penuh Tahun Depan


BANGI-- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sedang dalam proses memohon akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi membolehkan institusi pengajian itu mencapai status universiti penuh pada tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS yang juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelajar tempatan akan tetap diberi keutamaan walaupun institusi itu dinaiktaraf kepada universiti dengan pengambilan pelajar asing diperuntukkan antara 10 dan 30 peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis konvokesyen ke-11 KUIS di sini hari Ahad, katanya KUIS akan melengkap dan menaiktaraf prasarana sedia ada termasuk penyediaan asrama, tempat pengajian, pusat khidmat pelajar antarabangsa dan tenaga mahir dalam bidang pengajaran.

KUIS, yang terletak di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), turut mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), sebagai institusi yang memajukan pendidikan Bahasa Arab.

"Mereka yang ingin mendapatkan sijil bahasa Arab yang diiktiraf oleh antarabangsa, boleh mendapatkannya di KUIS," katanya.

Terdahulu, Rektor KUIS Datuk Mohd Adanan Isman dalam ucapannya pula berkata KUIS akan menambahkan bilangan tenaga pengajar lulusan Doktor Falsafah (PhD) dan menawarkan kursus termasuk dalam peringkat Ijazah Sarjana Perbankan Islam, Sarjana Syariah Pengurusan dan Perbandingan Agama.

"Kita telah meluluskan 30 kakitangan untuk mengikuti pengajian PhD di bawah Skim Latihan Akademik yang disediakan oleh KUIS bagi memantapkan tenaga pengajar di sini," katanya.

Seramai 857 graduan KUIS menerima diploma dan ijazah dalam bidang Bahasa Arab, Syariah, Usuluddin, Al-Quran dan Sunnah, Dakwah, Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat dan Syariah serta Perundangan Islam daripada Abdul Khalid.

Nurul Aini Mohd Sarif, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, menerima Anugerah Datuk Menteri Besar kerana kecemerlangan beliau menerusi pencapaian akademik dan penglibatan aktif dalam ko-kurikulum.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku keretakan ekoran insiden Anggota Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo Burne ditampar seorang pembantu Anggota Dewan Undangan Negeri, Jumaat lepas di Kelana Jaya, Selangor, Abdul Khalid berkata : "Ini adalah harapan saya. Kebenaran ialah ia menunjukkan kematangan dalam politik Malaysia".

Beliau berkata perbalahan atau perbezaan pendapat sentiasa wujud dalam sesebuah pakatan atau parti namun setiap anggotanya perlu tahu bagaimana untuk menangani masalah tersebut agar dapat diselesaikan secara aman.

"Rakyat melantik kita bukan untuk bergaduh tapi untuk memberi khidmat kepada mereka dengan baik," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: