HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Julai 2008

Balai Cerap Selangor Siap Akhir Tahun Depan
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM- Sebuah balai cerap yang sedang dalam pembinaan di Sungai Lang, Sabak Bernam dijangka bukan saja menyumbang dalam pembangunan ilmu falak, malah menjana sektor pelancongan, pendidikan dan penyelidikan.

Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata balai cerap yang dijadualkan beroperasi akhir tahun depan itu boleh mempamerkan kajian perkembangan astronomi oleh pakar Islam dan Eropah.

"Dengan itu kita dapat tunjukkan perkembangan yang berlaku dalam dunia falak kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2008 dan melancarkan pembinaan balai cerap Selangor.

Balai cerap yang terletak di kawasan seluas kira-kira 1 ekar itu bernilai RM2 juta, antara lain berfungsi untuk melihat anak bulan bagi penentuan tarikh puasa dan Aidilfitri.

Ia adalah balai cerap pertama bagi Selangor yang pada masa ini mempunyai beberapa baitul hilal.

Terdahulu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata dengan adanya balai cerap berkenaan, pengkaji astronomi dan golongan profesional dari dalam mahupun luar negara boleh melakukan kajian dalam bidang falak secara berterusan.

"Saya percaya balai cerap yang direncanakan ini mempunyai daya tarik yang boleh merangsang ramai pelancong berkunjung ke Selangor. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi penduduk di sekitarnya," katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Selangor menerokai pelbagai bidang ilmu termasuk ilmu falak dalam menghadapi arus perubahan globalisasi yang lebih mencabar ketika ini.

Tiada ulasan: