BERNAMA
PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok yang dibebaskan semalam selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menafikan beliau mencetuskan isu larangan laungan Azan di Selangor dan desakan supaya 30 peratus pendapatan Jabatan Agama Islam Selangor diagihkan kepada agensi-agensi bukan Islam.
"Saya menafikan kedua-dua pertuduhan itu kerana saya tidak pernah melakukannya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat DAP di sini sejurus selepas pembebasannya semalam.
Isu ini timbul adalah kerana fakta yang tidak tepat yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan, katanya.
Mengenai isu papan tanda tulisan jawi, katanya, teguran yang beliau berikan adalah atas desakan Persatuan Penduduk Taman Seputeh yang tidak bersetuju dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kerap kali menukar papan tanda.
"DBKL kerap menukar papan tanda beberapa bulan sebelum ini dan menukarnya semula selepas itu kepada tulisan jawi. Isu yang dibangkitkan adalah pembaziran yang dilakukan bukan soal penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda," katanya.
Mengenai siasatan sepanjang penahanannya selama lapan hari, beliau berkata: "Saya agak terkejut tidak ada soalan lain diajukan kepada saya selain soalan-soalan tersebut".
Menurut beliau, penangkapan di bawah ISA sepatutnya menjurus kepada mereka yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan bukan kerana isuisu seperti ini.
"Saya rasa tindakan ISA tidak wajar kerana penahanan ini berlaku disebabkan oleh dakwaan tanpa usul periksa terhadap kenyataan saya yang dimanipulasikan di dalam surat khabar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan