HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 September 2008

Bapa kepada anak kapal minta elakkan operasi tentera untuk bebaskan kapal

BERNAMA


JOHOR BAHRU: Bapa kepada seorang anak kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) Berhad yang dirampas lanun di perairan Teluk Aden 29 Ogos lepas, Abdul Jabar Abdul Hadi berharap pihak berkuasa Malaysia mengelak daripada melancarkan operasi ketenteraan bagi membebaskan anak-anak kapal itu.

Anak beliau, Rizal Shah, 30, adalah antara 39 anak kapal Bunga Melati Dua - 29 warga Malaysia, sembilan Filipina dan seorang Pakistan yang ditahan lanun itu.

Abdul Jabar bimbang kumpulan lanun tersebut akan mengancam keselamatan anak-anak kapal jika tindakan ketenteraan dilancarkan.

"Kita tidak mahu keselamatan anak-anak kapal diapa-apakan. Saya bimbangkan jika ada operasi tentera, lanun-lanun itu akan bertindak balas dengan mengancam nyawa anak-anak kapal," kata pesara Percetakan Nasional itu kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Sejurus selepas peristiwa rampasan dua kapal MISC, kerajaan telah menghantar tiga buah kapal perang termasuk pasukan komandonya ke perairan Teluk Aden untuk melindungi kapal-kapal tersebut.

Kapal-kapal itu ialah Friget KD Lekiu; kapal peronda generasi baru KD Pahang; serta KD Sri Inderapura.

Sementara itu, Fuziah Salleh, 50, ibu kepada Rizal Shah, berkata anaknya memberitahunya bahawa beliau (Rizal Shah) dan anak-anak kapal yang lain dikawal gerak geri mereka oleh sekurang-kurangnya 10 orang bersenjata pada setiap masa.

"Perbualan kami berlangsung amat singkat, tetapi saya sempat bertanyakan kepada beliau tentang keadaannya" katanya.

"Rizal juga meminta rundingan untuk membebaskan mereka dilaksanakan dengan cepat kerana bekalan makanan di dalam kapal sudah hampir kehabisan," kata Fuziah.

Menurut Fuziah, anaknya turut memberitahu bahawa beliau merupakan anak kapal yang keempat diberikan peluang menghubungi keluarga pada hari tersebut oleh kumpulan lanun berkenaan.

Kapal itu yang kedua milik MISC dirampas oleh lanun di perairan yang sama selepas kejadian sama berlaku terhadap kapal Bunga Melati Dua pada 19 Ogos.

Menurut Fuziah, Rizal juga menyatakan kesemua telefon bimbit serta komputer riba milik anak-anak kapal itu telah dirampas.

Ibu kepada empat orang anak itu juga berkata, apa yang lebih menyedihkan adalah tahun ini sepatutnya merupakan kali pertama anaknya dapat bersama mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri sejak mula bekerja dengan MISC enam tahun lepas.

Rizal, masih bujang, menyertai MISC pada Mac 2002, sejurus selepas menamatkan pengajiannya di Akademi Laut Malaysia (ALAM), di Masjid Tanah, Melaka.

Tiada ulasan: