HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 September 2008

Anwar sahkan pertemuan 3 jam Pakatan bincang bentuk kerajaan, lebih 30 MP hampir pasti

Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
(Dikemas kini)


PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan hampir tiga jam pagi ini selepas pertemuan informal lebih dua jam di ibu negara malam tadi.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui tengah hari ini mengesahkan pihaknya telah membincangkan isu penyertaan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ke dalam Pakatan Rakyat dalam pertemuan hari ini.

Sehubungan itu jelas beliau, perancangan untuk membentuk kerajaan berjalan dengan lancar dengan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat menghadiri mesyuarat hari ini.

Tambah beliau, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 32 wakil rakyat menyertai Pakatan Rakyat.

Ketika ditanya mengenai rombongan hampir 50 wakil rakyat BN ke ke Taiwan selama lapan hari bermula hari ini, beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen memberitahu, pihaknya akan mencari jalan untuk mendampingi mereka.

Kata beliau, isu itu turut disentuh dalam pertemuan hari ini.

mStar Online difahamkan Pakatan Rakyat telah memperoleh sokongan lebih 30 Ahli Parlimen BN setakat ini.

Kini hanya tinggal seminggu sahaja untuk membuktikan sama ada sasaran 16 September akan menjadi kenyataan ataupun sebaliknya,

Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan informal malam tadi bagi membincangkan kemajuan siri perundingan yang telah diadakan setakat ini.

mStar Online difahamkan pertemuan malam yang dipengerusikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim , yang pulang dari Jakarta petang tadi, hanya memfokus terhadap pelan pembentukan kerajaan persekutuan 16 September dengan membawa masuk ahli-ahli Parlimen BN.

"Perbincangan pertemuan informal ini hanya memfokus satu topik iaitu menerangkan hasil perbincangan dan perundingan yang telah diadakan sejak dua minggu yang lalu.
Kita telah berkongsi hasil perundingan dengan ahli-ahli Parlimen BN setakat ini.

"Perbincangan adalah positif dan semua perancangan berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dirancang," kata sumber itu kepada mStar Online awal pagi tadi tadi.

Pertemuan malam tadi yang berlangsung lebih dua jam di kediaman Anwar di Bukit Segambt berakhir kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Kesemua pemimpin kanan komponen Pakatan Rakyat hadir kecuali Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Tiada ulasan: