BERNAMA
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu segera mengarahkan pengurusan Bangunan Puduraya, Uda Holdings Bhd dan juga Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) agar mengenal pasti dan menutup kaunter yang menjual tiket bas palsu.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuanpersatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata pihak terbabit perlu segera bertindak ekoran banyak aduan yang diterima daripada pengguna yang "terbeli" tidak bas palsu sejak minggu lepas lagi.
"Sejak minggu lepas kami menerima 30 aduan daripada penumpang menyatakan berlakunya pemalsuan tiket di kaunter tiket di Puduraya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya kejadian itu menunjukkan adanya pihak-pihak yang bekerjasama dengan 'ulat tiket' atau syarikat bas yang tidak berlesen.
"Kami berharap kaunter-kaunter yang digunakan oleh 'ulat tiket' dan syarikat bas tidak berlesen di Puduraya ditutup serta merta, katanya.
Katanya penumpang mengadu bahawa mereka telah membeli tiket bas berkenaan pada harga yang lebih tinggi daripada harga yang tercatat pada tiket.
"Ada juga penumpang disuruh menunggu di platform bas yang dipaparkan pada tiket bas yang telah dibeli itu tetapi malangnya apabila tiba masanya, bas yang sepatutnya mereka naiki tidak kelihatan.
"Malah mereka juga diminta berjalan jauh ke luar terminal untuk menaiki bas yang dijanjikan," katanya.
Muhammad Sha'ani berkata pengguna tidak dapat membezakan antara kaunter tiket yang sah atau yang sebaliknya.
Beliau berkata semua kaunter tiket bas ekspres seharusnya ditandakan dengan nama syarikat yang sah berlesen, laluan-laluan yang diluluskan, jadual perjalanan dan tambang yang diluluskan.
Katanya jika berlaku kemalangan semasa perjalanan di luar laluan-laluan yang diluluskan, mereka tidak akan dilindungi insurans.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan