Malaysiakini
Empat pemimpin PKR akan berlepas ke Taiwan esok dalam usaha untuk menemui ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini telah bersetuju untuk melompat menyertai Pakatan Rakyat di bawah pelan 16 September.
Buat masa ini, keempat-empat mereka terdiri daripada Naib Presiden PKR, Dr Lee Boon Chye; Ketua Penerangan, Tian Chua, Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR, Fuziah Salleh dan pakar strategi parti itu, Saifuddin Nasution.
Menurut Tian, keputusan untuk ke Taiwan itu dibuat dalam mesyuarat biro politik parti itu hari ini, yang dipengarusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita perlu berbincang butir-butir terperinci rancangan mengambil alih kuasa, dengan ahli-ahli Parlimen BN. Anwar tidak perlu pergi sendiri (ke Taiwan)," kata Tian.
Keempat pemimpin PKR itu dikatakan akan menemui sebahagian daripada 49 ahli Parlimen BN itu yang menyertai lawatan sambil belajar, yang dianjurkan secara tergesa-gesa oleh Kelab Penyokong Barisan Nasional, untuk meninjau industri pertanian di Taiwan.
Kumpulan ahli Parlimen BN itu berlepas ke Taiwan pada 7 September lalu dan hanya dijadualkan pulang pada 19 September depan - tiga hari selepas tarikh 16 September - yang menurut Anwar, tarikh bagi Pakatan mengambil alih kerajaan pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan