HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 September 2008

Harga keperluan raya dijamin stabil

Oleh Norliza Abd. Rahman


PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan sewenang-wenangnya pada musim perayaan ini berikutan bekalannya yang mencukupi.

Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, jaminan tersebut diberikan kepadanya oleh syarikat-syarikat pengeluar barangan makanan dan agensi kerajaan dalam satu pertemuan dengan beliau hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penetapan secara khusus kadar harga barangan keperluan itu akan diumumkan pihaknya dalam waktu terdekat.

‘‘Saya sudah dapat kepastian daripada semua pihak bahawa bekalan barang dijamin mencukupi pada harga yang stabil. Jadi tidak ada alasan dari pengilang, pengusaha, pengedar dan peruncit untuk menaikkan harga.

‘‘(Malah) dalam tempoh musim perayaan ini, kementerian akan melaksanakan sepenuhnya peruntukan yang terdapat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan undang-undang di bawahnya bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, wakil dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut memberi jaminan bekalan ayam mencukupi berikutan pemberian permit import kepada 16 buah syarikat untuk membawa masuk 20,000 tan metrik ayam proses.

Shahrir berkata, sempena musim perayaan ini, 17 jenis barang terpilih di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) akan diwarta untuk dikuatkuasakan.

Barangan tersebut ialah ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), kambing biri-biri import bertulang, daging kambing import tanpa tulang dan ikan kembung tempatan.

Barangan lain ialah telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import (tidak termasuk dari Beijing), cili merah, kelapa parut, bawang merah kecil (dari India), tomato, ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram) serta udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram).

‘‘Barang-barang terpilih yang terlibat dalam SKHMP telah ditetapkan harga jualannya di peringkat borong dan runcit,” kata beliau.

Shahrir berkata, harga itu diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 sebagai Harga Maksimum Borong dan Runcit serta dikuatkuasakan di seluruh negara yang meliputi Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali sahaja.

Menurutnya, tempoh penguatkuasaan SKHMP adalah selama 15 hari iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan.

Kata beliau, barang-barang kawalan yang tertakluk di bawah SKHMP dijual dengan menggunakan plet penandaan harga berwarna merah jambu untuk dibezakan dengan barang-barang lain.

Tiada ulasan: